NUTP mahu pembentukan nilai murni diutama
Berita Harian
KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) percaya sistem pembelajaran yang terlalu mengutamakan kecemerlangan akademik dan menggalakkan pelajar mengejar gred ‘A’ dalam semua mata pelajaran, secara langsung mengikis nilai murni seperti diamalkan sejak sekian lama.
Malah, kesatuan itu menyifatkan perlumbaan mencapai ‘A’ menyebabkan wujud pelbagai tekanan sama ada kepada guru atau murid dan keadaan itu lebih menjejaskan emosi pelajar lemah yang akan menunjukkan reaksi negatif terhadap semua tekanan berkenaan.
Presiden NUTP, Anuar Ibrahim, berkata semua tekanan itu mewujudkan khalayak murid ‘kurang ajar’ yang sering memberi masalah kepada guru, namun apabila tindakan diambil ia tidak diterima pula ibu bapa pelajar.
Membandingkan senario pendidikan pada zaman sebelum dan awal kemerdekaan, beliau berkata, pada zaman dulu status sosial masyarakat lebih bercorak kekitaan dan ikatan sosialnya juga amat ketara selain mengetepikan sikap individu dan kebendaan.
“Apabila mereka tidak begitu memandang kebendaan, maka gurulah yang menjadi tempat rujukan sebagai sumber ilmu kepada anak mereka. Keadaan itu menyebabkan tahap penghormatan kepada guru cukup tinggi.
“Konsep ketika itu, terimalah anak kami dan cikgu ajarlah dengan apa cara sekalipun, cuma jangan sampai patah dan buta sudahlah,” katanya.
Justeru, NUTP mencadangkan supaya sebarang bentuk penggubalan dalam akta pendidikan atau garis panduan pelaksanaan peraturan disiplin sekolah mengambil kira pelbagai aspek pembentukan sahsiah pelajar dan mengkaji beban tugas guru supaya dapat memainkan peranan lebih aktif sebagai pendidik serta tidak terbatas berperanan mengajar.
Anuar juga mencadangkan supaya pembabitan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta badan bukan kerajaan (NGO) haruslah dilihat kembali supaya lebih memainkan peranan membantu pihak sekolah dan bukannya sekadar bijak melemparkan pelbagai kritikan.
Namun, apabila memperkatakan semua permasalahan guru dalam menjalankan tugas mendidik, Anuar berkata guru sering berdepan kesukaran kerana tiada peraturan jelas dan standard dalam pelaksanaan hukuman terhadap kesalahan disiplin pelajar.
“Satu masalah besar di sini ialah terdapat peraturan dan pekeliling berkaitan disiplin pelajar yang terlalu ketinggalan zaman. Contohnya, peraturan berkaitan ‘Public Canning’ (hukuman rotan di khalayak) yang sudah digantikan dengan ‘Corporal Punishment’ dalam Akta Pelajaran 1996 menyebabkan kuasa kepada guru besar dan pengetua amat terhad.
“Sewajarnya ‘Public Canning’ diwujudkan semula supaya pelaksanaan kaedah pendisiplinan di sekolah menjadi lebih berkesan dengan guru dan pelajar mendapat pengajaran daripada pelaksanaan kaedah itu,” katanya.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Mohd Ali Hasan, berkata sebarang bentuk hukuman yang dilaksanakan mestilah tidak bersifat penderaan dan mengikut emosi semata-mata.
“Hukuman yang dikenakan mestilah setimpal dengan salah laku dilakukan. PIBGN bersetuju jika guru diberi kelonggaran dalam proses mendisiplinkan pelajar tetapi jangan sampai melampaui batas.
“Apa salahnya jika guru menggunakan budi bicara yang baik untuk menangani masalah disiplin pelajar. Ini tidak, ada hukuman yang dianggap terlalu melampau sehingga mendatangkan kecederaan kepada murid serta menjejaskan emosi mereka,” katanya.
Beliau bersetuju dengan cadangan Kementerian Pelajaran untuk mengkaji kemungkinan menggubal garis panduan disiplin sekolah dan meminta kementerian meneliti secara terperinci segala ruang yang ada sama ada ia mencukupi atau tidak.
No comments:
Post a Comment