Laporan Khas: Kuasa guru dikembalikan
Berita Harian
Oleh Azrul Affandi Sobry
Kementerian mahu rombak garis panduan, mudahkan tangani disiplin pelajar
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran mengkaji kemungkinan mengembalikan kuasa guru dalam mendisiplinkan pelajar, termasuk merotan di khalayak ramai, bagi memastikan pendidik dapat menjalankan tanggungjawab itu dengan lebih tegas dan berkesan.
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata garis panduan sedia ada perlu dikaji semula supaya masalah sosial di kalangan pelajar dapat dikawal dengan kaedah pendisiplinan yang tidak terlalu terikat dengan pelbagai peraturan.
“Kita perlu lihat sama ada membenarkan tindakan yang tidak keterlaluan oleh guru dalam proses mendidik pelajar. Ini perlu kerana kadang kala guru sebagai manusia bertindak sedikit keras apabila berdepan dengan pelanggaran peraturan yang berlaku di depan mata,” katanya kepada Berita Harian.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar (gambar), berkata kementerian dalam proses meminda Peraturan-Peraturan Disiplin (Pelajar) 1957 bagi mengemas kini peraturan dan tindakan yang boleh diambil guru terhadap pelajar bermasalah.
Beliau berkata, akta berusia 50 tahun itu terlalu umum sehingga mengeliru dan menyukarkan pentadbiran sekolah melaksanakan hukuman terhadap pelajar.
Alimuddin berkata, peraturan terlalu ketat mengongkong guru dan secara langsung membataskan tugas pendidik untuk menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa pelajar selama mereka di sekolah.
Malah, guru sukar menegur kesalahan pelajar di luar kawasan sekolah kerana tiada peraturan membenarkan berbuat demikian.
“Lebih mengecewakan apabila ibu bapa sering mengambil pendekatan salah dengan beranggapan anak mereka tidak bersalah dalam apa saja keadaan walaupun selepas diberi penerangan oleh pentadbir sekolah.
“Ibu bapa sepatutnya faham bahawa apa saja tindakan guru adalah bertujuan mendidik dan kebiasaannya hukuman yang diambil adalah pilihan terakhir selepas pelbagai amaran diberikan.
“Rasanya lebih baik guru menghukum pelajar daripada langsung tidak mengambil tahu apa berlaku kepada muridnya. Kesudahannya, murid itu juga yang rugi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Penasihat Kluster Kecemerlangan, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, mencadangkan supaya sekolah kluster menjadi perintis pelaksanaan peraturan disiplin yang lebih tegas dan membabitkan lebih ramai guru.
“Jika ada ibu bapa yang tidak suka anak mereka ‘disentuh’, jangan hantar anak mereka ke sekolah kluster kerana di situ anak mereka akan menerima didikan secara seimbang dan menyeluruh,” katanya.
No comments:
Post a Comment