06 July 2007

JPA diminta terima bekas penagih

Berita Harian

AGENSI Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mencadangkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menarik balik syarat bekas penagih dadah tidak layak memohon jawatan dalam perkhidmatan awam selain menilai semula peraturan menghentikan perkhidmatan kakitangan yang terbabit dalam penagihan dadah.

Timbalan Menteri Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum, berkata langkah itu diharap dapat mengembalikan bekas penagih ke pangkuan masyarakat.

"Kita minta syarat itu ditarik balik. Selain itu, syarat yang menyatakan penjawat awam yang terbabit dalam penagihan dadah akan diberhentikan serta-merta juga diminta dikaji semula," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang membina pusat khas bekas penagih yang dijaga satu kementerian.

Mohd Johari berkata, isu penagihan dadah membabitkan banyak pihak dan masalah itu tidak mampu diselesaikan kerajaan secara bersendirian.

"Kerajaan mengaku pusat perkhidmatan untuk bekas penagih dadah masih tidak mencukupi dan akan memperbanyakkan pusat seperti itu dan ini membabitkan peruntukan besar.

"Kita akan membina lebih banyak pusat khidmat daerah khusus untuk bekas penagih dadah di seluruh negara, memandangkan 17 pusat yang sedia ada tidak mencukupi,” katanya.

No comments: