‘Guru Kampung’ hanya bernasib baik
Berita Harian
MERUJUK kepada surat ‘Guru Kampung’ dari Temerloh, Pahang pada 22 Jun lalu, saya mengucapkan tahniah kerana anda adalah antara guru yang beruntung mendapat durian runtuh kenaikan gaji.
Anda mula berkhidmat pada 1997, mendapat ‘time-based’ GD32 dan menikmati gaji baru RM2,416.
Memang sepatutnya anda bersyukur dan semestinya anda perlu meningkatkan komitmen sebagai pendidik yang mengutamakan keikhlasan bekerja berbanding imbuhan.
Apalagi anda tinggal di kampung, dengan pendapatan setinggi itu memang cukup selesa.
Berbanding dengan saya yang mula berkhidmat pada 1994 di sekolah bandar, kemudian menyambung pelajaran melalui Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) dan dilantik ke DG41 pada 2004. Saya lulus Ujian Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) DG41 dan mendapat markah lebih 90 peratus tiga tahun berturut-turut dan kini dengan kenaikan baru DG41 sebanyak 15 peratus dan gaji saya cuma RM2,232.
Saya perlu menunggu enam tahun lagi untuk memohon ‘time-based’ DG44 sedangkan umur saya sudah lebih 40 tahun. Saya pernah menerima anugerah cemerlang dan anak didik saya ramai melanjutkan pelajaran dan mendapat pekerjaan.
Itu bukti kejayaan dan keikhlasan yang memberi kepuasan cukup bermakna kepada saya.
Guru DG41 yang menyuarakan ketidakpuasan gaji DG41 lebih rendah bukan bermaksud guru itu tiada keikhlasan mengajar atau hanya mementingkan wang ringgit dan imbuhan.
Pada pandangan saya, tidak salah jika menyuarakan hak kita untuk memperbaiki kelemahan sedia ada agar pihak bertanggungjawab dapat memperbaikinya sebelum keadaan menjadi lebih tidak profesional.
Siapalah kita untuk menentukan keikhlasan mengajar seseorang guru. Sepatutnya sebagai pendidik, kita perlu memahami masalah rakan seperjuangan dan mengetahui kekeliruan ini dengan mendalam sebelum membuat kenyataan yang boleh menyinggung rakan kita sendiri.
Kita hanya hamba Allah yang daif keikhlasan seseorang guru bukan kita yang menentukan.
Keikhlasan dan perjuangan dua keadaan berbeza. Sekurang-kurangnya tugas guru DG41 memperjuangkan nasib mereka dengan memberitahu perkara sebenar, selebihnya terpulanglah kepada pihak yang berkenaan sama ada mahu mendengar atau membiarkan saja kelemahan itu terus berlalu.
Tugas itu satu amanah dan saya percaya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Pelajaran pasti tidak mahu isu ini berlarutan dan sedang berusaha mencari jalan penyelesaian.
Kepada ‘Guru Kampung’, memang bersyukur jika menjadi guru kampung yang kos kehidupan tidak tinggi dan tidak perlu membayar hutang kerana menyambung pelajaran. Tetapi tolong fahami masalah orang lain yang nasibnya tidak sebaik anda.
GURU BANDAR,
Kota Kinabalu, Sabah.
No comments:
Post a Comment