02 July 2007

Cola tidak sama di Terengganu

Berita Harian

SAYA ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan kerana menaikkan gaji termasuk Elaun Sara Hidup (Cola) bagi semua kakitangan kerajaan berkuat kuasa, 1 Julai ini.

Bagaimanapun didapati pembayaran Cola bagi Terengganu adalah tidak sama jumlahnya antara daerah di negeri ini.

Bagi kakitangan kerajaan yang bekerja di daerah Kuala Terengganu dan Kemaman dibayar Cola kadar lama sebanyak RM100, manakala bagi lima lagi daerah lain, Cola dibayar RM50, juga kadar lama.

Saya merayu kepada kerajaan supaya mengkaji semula kadar pembayaran Cola di Terengganu dan memohon supaya semua kakitangan kerajaan dibayar sama rata RM100 bagi semua daerah. Ini adalah kerana harga barang yang dijual di daerah adalah lebih tinggi daripada Kuala Terengganu.

Kebanyakan aktiviti perniagaan berpusat di Kuala Terengganu dan sebarang barang sama ada makanan, pakaian, keperluan dapur, elektrik dan lain-lain semuanya terlebih dulu di kumpulkan di Kuala Terengganu sebelum diedarkan ke daerah lain.

Keadaan ini menyebabkan berlaku sedikit perbezaan harga sama ada bagi barangan atau perkhidmatan antara daerah Kuala Terengganu dengan daerah lain.

Penduduk yang tinggal di luar Kuala Terengganu terpaksa berbelanja lebih untuk mendapatkan perkhidmatan terbaik dan berkualiti. Sebagai contoh hospital induk dan beberapa jabatan kerajaan hanya terdapat di Kuala Terengganu.

Untuk menonton perlawanan bola sepak Piala Malaysia dan lain-lain persembahan hiburan pun mereka terpaksa ke Kuala Terengganu, malah, lapangan terbang dan stesen bas utama pun beroperasi di Kuala Terengganu.

Rumah sewa di daerah kecil dan di kawasan terpencil juga mahal kerana tidak banyak rumah yang ada disebabkan kurang permintaan.

Lagipun kebanyakan rumah kurang selesa dan tidak sepadan dengan sewa dikenakan.

Kami berharap kerajaan menimbang menaikkan kadar Cola daripada RM50 kepada RM100 (kadar lama) bagi semua kakitangan kerajaan yang bekerja di semua daerah di Terengganu

Saya yakin dengan kenaikan Cola ini tidak akan membebankan kewangan kerajaan kerana bilangan kakitangan yang bekerja di daerah berkenaan tidaklah sebesar mana pun berbanding dengan Kuala Terengganu dan Kemaman.

KAKITANGAN KERAJAAN,
Terengganu.

No comments: