25 June 2007

Pendidik DG41 terkilan skim gaji baru

Berita Harian

SAYA amat tertarik dengan pandangan Guru Kampung di ruangan ini pada 22 Jun 2007 bertajuk ‘Ramai guru utamakan imbuhan berbanding keikhlasan bekerja.’ Guru Kampung meminta agar guru berijazah DG41 khasnya yang menyambung pelajaran supaya tidak membuat bantahan kerana mendapat gaji lebih rendah berbanding sekiranya tidak menyambung pelajaran.

Menurut Guru Kampung lagi, keikhlasan itu lebih penting dari segi imbuhan.

Saya tidak menafikan bahawa keikhlasan dalam pengajaran lebih penting, walaupun kita mendapat gaji lebih rendah berbanding rakan sejawat yang tidak melanjutkan pelajaran. Namun, pernahkah Guru Kampung terfikir kesusahan yang dihadapi guru yang menyambung pelajaran dengan separuh gaji dan hutang PTPTN yang perlu dibayar kerana melanjutkan pelajaran.

Saya ingin mengambil contoh diri saya yang mula dilantik sebagai Guru (PPP bukan siswazah DG6) pada 1995. Kelulusan saya memasuki maktab perguruan hanya dengan SPM, maka gaji saya kurang RM200 berbanding rakan sejawat yang sama mula mengajar, tetapi memasuki maktab perguruan dengan STPM.

Kerana ingin menyahut seruan Kementerian Pendidikan (ketika itu) agar guru sentiasa meningkatkan taraf profesionalisme, saya mula belajar sendiri menerusi gaya pos untuk menduduki STPM.

Selama setahun, dalam kesibukan mengajar di sekolah, saya belajar tuisyen gaya pos, bersengkang mata pada tengah malam untuk menduduki STPM. Apabila menduduki STPM pada 1997, belum pun keputusan diumumkan, Kementerian Pelajaran mengumumkan bahawa semua guru PPP bukan siswazah DG6 akan dinaikkan taraf ke PPP lepasan diploma (DGA 29).

Akibat pertukaran gred ini, saya kerugian kerana STPM yang saya ambil tidak memberi kesan pada gaji saya.

Katakan sebulan saya terpaksa membelanjakan RM150 untuk yuran tuisyen gaya pos dan duit buku, bererti saya membelanjakan RM1,800 setahun, tidak termasuk yuran peperiksaan dan tidak mengambil kira masa diluangkan untuk belajar.

Akhirnya apabila keputusan STPM diumumkan saya dapati sekiranya saya tidak menduduki STPM gaji saya tetap sama seperti DG29. Alangkah ruginya. Namun, saya tidak pernah menyesal, kerana seperti kata Guru Kampung, keikhlasan lebih penting dari imbuhan.

Kerana ingin terus menyahut seruan Kementerian Pelajaran agar guru terus meningkatkan taraf profesionalisme, pada 2001 saya menyambung pelajaran mendapatkan ijazah sarjana muda dalam Program Khas Pensiswazahan Guru (PKPG) selama tiga tahun dengan memperoleh separuh gaji.

Secara purata, sebulan gaji saya dipotong RM750 kerana cuti belajar separuh gaji. Ia bererti selama tiga tahun melanjutkan pelajaran di universiti, saya kerugian RM27,000. Ia tidak termasuk bonus tahunan yang juga diperoleh secara separuh selama tiga tahun.

Saya juga terpaksa membuat pinjaman PTPTN RM28,000 (RM3500 satu semesta selama enam semesta). Ia bererti, kerana ingin menyahut seruan Kementerian Pelajaran agar guru bukan siswazah melanjutkan pelajaran pada peringkat siswazah saya terpaksa korbankan gaji saya RM27,000 dan terpaksa pula meminjam PTPTN RM 8,000, dan pihak PTPTN pula mengenakan caj perkhidmatan empat peratus.

Apabila kerajaan mengumumkan kenaikan gaji mulai 1 Julai ini, saya dapati gaji saya hanya dinaikkan daripada RM1,789.25 kepada RM 2,057.65 (P1 T5), sedangkan sekiranya saya tidak bersusah payah melanjutkan pelajaran, sebagai guru bukan siswazah DGA 29 saya berada di T12 dengan gaji RM2,121.15.

Dengan mengambil kira kenaikan tahunan yang saya peroleh secara biasa, malah berkemungkinan saya beralih ke DGA 32 yang memungkinkan gaji saya sekarang sebanyak RM2,416.06 dengan mengambil kira gaji terendah DGA 32.

Saya luahkan ini bukan bererti saya ingin membantah Kementerian Pelajaran seperti yang didakwa guru kampung.

Tetapi, saya berharap agar guru kampung yang berkhidmat selama 10 tahun sebagai guru bukan siswazah, langsung tidak berusaha untuk melanjutkan pelajaran agar tidak mempertikaikan kenapa guru DG41 khasnya yang melanjutkan pelajaran berasa terkilan dengan skim gaji terbaru ini.

GURU BANDAR,
Teluk Intan, Perak.

1 comment:

Zam Zam Jarkaseh said...

Guru Bandar, semoga anda terus giat menyuarakan perkara ini.

Saya percaya bahawa Guru Kampung tidak berada pada situasi anda, kerana itu ia tegah untuk berkata demikian. Sebaliknya jika beliau berada di pihak anda, sudah tentu berbeza nadanya..

Kalau artikal Guru Kampung berbunyi ‘Ramai guru utamakan imbuhan berbanding keikhlasan bekerja’, mungkin boleh saya judulkan artikal saya dengan tajuk, 'Ramai mereka yang menjadikan alasan ikhlasan guru berkerja untuk memberi imbuhan yang sedikit'.