28 June 2007

Dilema kesetiaan di Universiti Malaya

Utusan Online

Oleh WAHID HASHIM (WARTAWAN UTUSAN)

UNIVERSITI Malaya (UM) ialah sebuah universiti yang diwarnai dengan berita kias dan pulas. Hal ini menjadikan isu kecil dan besar di universiti tertua dan paling ramai melahirkan tokoh politik, saintis dan tokoh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu tidak terlepas daripada menjadi santapan pena wartawan.

Isu kecil menjadi besar hanya semata-mata namanya UM.

Daripada isu akademik sekitar 90-an seperti plagiarisme, isu pelajar sekitar 80-an seperti bantahan terhadap penyanyi nombor satu Allahyarham Sudirman Haji Arshad sehinggalah isu kampus seperti isu McDonald‘s dan ura-ura memindahkan tapak UM keluar daripada Kuala Lumpur, menyemarakkan polemik institusi Jalan Pantai itu.

Dengan auranya yang sudah jauh terkehadapan, maka pengisian jiwa di UM sering menjadi perhatian.

Tenaga pengajar di UM juga sering menjadi tumpuan kerana rata-rata mempunyai ketokohan sebagai cendekiawan masyarakat.

Jadi, tidak hairanlah kalau ada dalam kalangan tokohnya yang cuba disunting oleh institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk diletakkan sebagai ikon anak negeri – atau dalam kata lain sebagai pelaris.

UM mungkin berhadapan dengan dilema jika kekuatan dalaman ini terus menerus menjadi mangsa mata kail pihak tertentu. Hal ini boleh meruntuhkan kredibiliti UM. UM terkenal dengan konsep UM untuk UM.

Sehingga ke hari ini, UM kebal daripada ditadbir oleh mana-mana tangan yang pernah berkhidmat di universiti lain.

Naib Canselor UM yang sedia ada pun pernah menjawat jawatan dekan di universiti keramat itu - kemudian bertugas di tempat lain yang bukan bersifat universiti. Mungkin sebab itulah beliau diterima sebagai Naib Canselor.

Isunya ialah sejak kebelakangan ini, semakin ramai pentadbir kanan UM yang dipancing dan mengena pula.

Dua orang ‘paling kuat’ di UM, iaitu Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar, Prof. Datuk Dr. Mohd Razali Agus dan TNC Pembangunan dan Penyelenggaraan Harta Benda, Prof. Datuk Dr. Alias Daud juga telah dilamar dan menerima tawaran tersebut.

Mereka ini memenuhi ciri pelapis UM kerana kedua-duanya ialah Alumni UM dan mempunyai pengalaman yang cukup luas mentadbir universiti itu.

Mohd Razali ialah ‘benteng terakhir’ yang khabarnya telah menerima ‘opsyen 50'.

Namun agak mengejutkan apabila beliau dikatakan akan ke sebuah universiti swasta di Selangor, Universiti Industri Selangor (Unisel).

Dr. Alias Daud pula telah ke sebuah universiti awam baru berlabel negeri.

Mohd Razali ialah kes klasik yang perlu diberi pertimbangan secara waras.

UM nampaknya akan hilang jiwa dan hatinya, tidak seperti mana yang dihayati oleh Prof. Diraja Ungku Aziz dan Syed Hussein Alattas sehingga beliau menghembuskan nafas terakhir.

Mereka ‘tidak seronok’ mengajar di universiti lain. Mohd Razali telah memangku jawatan Naib Canselor UM ketika universiti itu menghadapi keadaan tidak menentu ekoran pelantikan semula semua pegawai tertinggi di UM.

Beliau adalah antara yang terpaksa membuat keputusan paling drastik - dalam masa dua bulan sahaja untuk membuat lantikan semula itu.

Pelantikan sementara tersebut membabitkan jawatan dekan, timbalan dekan, ketua-ketua jabatan, institut dan unit di universiti berkenaan yang telah tamat kontrak mereka pada 31 Mac tahun lepas.

Masalah timbul apabila perkhidmatan semua dekan dan ketua jabatan itu tamat pada 31 Mac 2006 dengan tamatnya kontrak Naib Canselor Prof. Dr. Hashim Yaacob.

Kementerian Pengajian Tinggi bagaimanapun mengumumkan pelantikan Mohd Razali bagi memangku jawatan itu selama sebulan.

Jentera pentadbiran semua fakulti dan jabatan di UM tidak berfungsi selama empat hari kerana ketiadaan dekan dan ketua jabatan baru.

Akibatnya, hubungan UM dengan pihak luar terputus dan hubungan fakulti dan jabatan dengan mahasiswa juga tidak dapat dilakukan.

Jika pelantikan dekan dan ketua jabatan tidak dibuat, pelajar akan menghadapi masalah kerana semua urusan itu tidak boleh dikebelakangkan (back dated) oleh sebab ia adalah satu kesalahan. Terdapat 12 fakulti dan 94 jabatan di UM.

Di samping itu, terdapat dua akademi iaitu Akademi Pengajian Melayu dan Akademi Pengajian Islam yang diketuai oleh seorang pengarah.

Di sinilah bermulanya beban besar yang terpaksa ditangani oleh Mohd Razali, dan beliau telah melakukannya.

Begitulah selalunya nasib mana-mana pun pemangku Naib Canselor yang terpaksa bergelumang dengan pelbagai cabaran. Hal ini tidak akan difahami oleh orang lain.

Bagi pemangku Naib Canselor, kedudukannya adalah antara, berpaut di langit tidak, berpijak di bumi pun tidak.

Peristiwa di UM itu menjadi pengajaran betapa pentingnya mencanai pemimpin pelapis untuk mentadbir sesebuah universiti dengan keunikan tertentu kerana bakat dan keikhlasan hatinya.

Sekarang ini, Mohd Razali dikatakan sudah menerima tawaran ke Unisel.

Kekosongan itu kerana naib canselor Unisel yang bukan anak jati Selangor, telah berpindah ke institusi lain.

Mohd Razali ialah anak Selangor, dan mungkin sebab itu beliau ditawarkan sebagai naib canselor di Unisel.

Namun, timbul persoalan berikut: Wajarkah Mohd Razali memikirkan kepentingan negeri berbanding kepentingan universiti awam sehebat UM?

Mungkin tersirat sentimen tertentu yang menyebabkan beliau membuat keputusan tertentu.

Memang wajar Unisel ditadbir sendiri oleh anak Selangor yang telah diuji kesetiaannya.

Tetapi itu sahaja tidak memadai kalau Unisel hanya ditadbir seperti sebuah universiti awam.

Ada ciri tertentu yang lebih penting untuk Unisel, iaitu survivalnya.

Biarlah orang yang berpengalaman dalam Unisel dan telah diuji kesetiaannya sebagai anak jati Selangor yang mentadbir Unisel.

Lagipun Unisel kini telah berada di landasan yang betul, di bawah pentadbiran sedia ada.

Kerusi Naib Canselor Unisel tidak layak untuk Mohd Razali, kerana beliau seharusnya pergi lebih jauh.

Memencilkan diri di Berjuntai Bestari bukanlah satu langkah seorang tokoh akademik berjiwa besar.

Lagipun, itu bukanlah ganjaran terbaik untuk orang yang telah mencurahkan bakti yang cukup banyak seperti Mohd Razali.

Jadi, sekurang-kurangnya, biarlah UM itu Mohd Razali, dan Mohd Razali itu UM.

No comments: