SPA perjelas isu kakitangan kontrak
Berita Harian
SURUHANJAYA Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) ingin memberikan penjelasan berhubung beberapa surat pembaca baru-baru ini yang menyentuh berkenaan isu pegawai kontrak tidak berpuas hati kerana tidak diberi pertimbangan khas untuk lantikan ke jawatan tetap.
Satu fungsi utama SPA seperti terkandung dalam Perkara 144(1) Perlembagaan Persekutuan ialah melantik. Semua pelantikan dibuat SPA adalah menerusi pertandingan terbuka atau ‘open competition’ bagi memastikan setiap pelantikan dibuat mendukung prinsip adil dan saksama.
Sistem Mengambil Sepanjang Masa (SMSM) diamalkan SPA adalah sistem terbuka kepada semua peringkat masyarakat untuk memohon. Setiap permohonan yang lengkap akan didaftarkan dalam data bank SPA menunggu permohonan pengisian jawatan oleh kementerian/jabatan.
Apabila wujud kekosongan dilaporkan kementerian/jabatan, tidak kira sama ada untuk jawatan bertaraf tetap atau kontrak, SPA akan membuat tapisan daripada kalangan calon yang mendaftar ini.
Semua calon akan melalui tapisan asas mengikut syarat skim dan tapisan tambahan ditetapkan suruhanjaya sekiranya kekosongan terlampau sedikit berbanding jumlah memohon.
Calon memiliki kelayakan akademik, memenuhi semua syarat ditetapkan dalam skim perkhidmatan, melepasi syarat tapisan dan menunjukkan prestasi memuaskan dalam temu duga, mempunyai peluang cerah untuk dipilih.
Bagi calon dilantik secara kontrak melalui prinsip ‘open competition’ dalam data bank SPA, mereka ditawarkan diberi keutamaan untuk lantikan ke jawatan tetap apabila berlaku kekosongan.
Bagaimanapun, ada juga calon lantikan kontrak tidak menepati prinsip ‘open competition’ yang mana calon ini dikenal pasti pihak kementerian/jabatan dan dilantik secara kontrak untuk keperluan tertentu.
Calon ini tidak melalui proses tapisan seperti biasa. Sekiranya berlaku kekosongan jawatan tetap, calon sedemikian perlu melalui proses sama seperti calon lain iaitu berdaftar dengan SPA dan ditawarkan jawatan tetap sekiranya melepasi tapisan untuk dipanggil temu duga seterusnya menunjukkan prestasi memuaskan ketika peringkat temu duga.
Dengan cara ini, SPA dapat memastikan misi SPA iaitu memilih dan melantik anggota perkhidmatan awam yang berkualiti bagi memenuhi keperluan dan visi negara tercapai seterusnya mendukung prinsip adil dan saksama semasa menjalankan proses itu.
Bagi pegawai kontrak tidak berpuas hati dan ingin mendapat maklumat lanjut bolehlah menghubungi SPA di talian 03-8885 6014/6327/6333 atau e-mel shaiful@spa.gov.my/hazam@spa.gov.my/syidah@spa.gov.my.
RADZIAH MOHD SHARIF,
Pegawai Perhubungan Awam
b.p. Setiausaha
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.
No comments:
Post a Comment