30 June 2007

Zabidi Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Pengarah Unit ISO 9000, Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) di Jabatan Perdana Menteri, Mohamad Zabidi Zainal, dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan), Kementerian Kesihatan mulai 1 Julai ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan yang mengumumkan pelantikan itu menerusi kenyataannya semalam, berkata Mohamad Zabidi, 51, yang berpengalaman dalam bidang pembangunan dan pengurusan sumber manusia menggantikan Jama’ah Hassan yang akan bersara wajib.

Sidek turut mengumumkan pelantikan Pengarah Bahagian Kewangan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan, Noriah Hashim, sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) kementerian sama, berkuat kuasa 1 Julai.

Noriah, 53, yang berpengalaman dalam bidang pentadbiran dan pengurusan kewangan, akan menggantikan Tomadan Johari yang bertukar ke jawatan lain pada tarikh sama.

Mulai 1 Julai juga, Pengarah Seksyen Dasar Pelaburan dan Perindustrian, Bahagian Dasar Pelaburan dan Fasiliti Perdagangan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Wong Seng Foo, dilantik sebagai Pengarah Kanan, Bahagian Perkhidmatan dan Amalan Perdagangan iaitu jawatan baru diwujudkan di kementerian berkenaan.

Wong, 50, yang memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada Januari 1983, berpengalaman luas dalam bidang pengurusan perdagangan dan ekonomi pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Sidek juga mengumumkan pertukaran Pegawai Pilihan Raya Negeri Sarawak, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Noordin Che Ngah, sebagai Timbalan Setiausaha (Operasi) SPR, mulai 2 Julai.

Noordin, 50, berpengalaman dalam bidang pengurusan pendidikan dan pentadbiran awam, akan menggantikan Abdul Hamid Ali yang bersara wajib pada tarikh sama.

No comments: