29 March 2007

Kenaikan pangkat pengetua kena seragam

Sumber: Berita Harian

CADANGAN Kementerian Pelajaran untuk melantik Pengetua DG52 bagi mentadbir sekolah berkelompok (kluster) amat dialu-alukan. Sebelum ini kementerian juga mengumumkan untuk melantik lebih ramai lagi pengetua sekolah menengah ke jawatan Pengetua Kanan. Cadangan ini sudah tentunya menggembirakan pengetua sekolah menengah di negara ini.

Pada hemat saya, Kementerian Pelajaran sepatutnya memberi pengiktirafan kenaikan pangkat Pengetua Gred 52 kepada semua pengetua sekolah menengah tidak kira sama ada sekolah menengah sains, asrama penuh, sekolah teknik atau sekolah menengah harian biasa.

Rasionalnya jawatan pengetua adalah jawatan kenaikan pangkat, umpamanya dari jawatan Penolong Kanan ke jawatan Pengetua Gred DG48 Hakiki. Bagaimanapun, sesetengah kenaikan pangkat tidak membawa apa-apa makna kecuali penambahan tanggungjawab, umpamanya seorang Guru Penolong Kanan Gred DG48 KUP dinaikkan pangkat sebagai Pengetua DG48 Hakiki. Yang membezakannya ialah antara KUP dan Hakiki.

Hari ini ramai Pengetua Gred DG48 rasa tertekan kerana penolong kanan mereka juga di tangga gred sama iaitu DG48 KUP. Malah ramai guru di bawah mereka juga di kalangan gred DG48 KUP dan sesetengahnya pula di kalangan guru pakar atau cemerlang DG48.

Sesetengahnya adalah guru matematik, sains atau bahasa Inggeris DG48 KUP yang mana gaji mereka lebih tinggi daripada pengetua kerana mereka mendapat elaun kritikal.

Bagi pengetua yang sekolah mereka dalam kumpulan Pusat Tanggungjawab (PTJ), jumlah pelajar terlalu ramai adalah beban yang agak berat sedangkan elaun tanggungjawab pengetua hanya lebih RM30 berbanding Guru Penolong Kanan atau ketua bidang.

Beban pengetua sekolah menengah bertambah berat kerana mereka juga diarahkan mengajar mata pelajaran atau terbabit dengan pembelajaran dan pengajaran sekurang-kurangnya enam waktu seminggu. Alasan yang pernah diberikan pihak kementerian sekiranya pengetua tidak mengajar, jawatan pengetua diambil alih Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD).

Jawatan pengetua adalah satu jawatan pengurusan profesional yang menguruskan pelaksanaan kurikulum, kokurikulum, hal ehwal murid, pengurusan staf dan pengurusan kewangan.

Waktu pengurusan juga adalah waktu pejabat seperti jabatan kerajaan lain iaitu antara jam 7.30 pagi hingga jam 4.30 petang. Cuti rehat pengetua juga adalah cuti rehat tahunan antara 30 hingga 35 hari setahun.

Waktu rehat pengetua antara jam 1 tengah hari hingga 2 petang kadangkala terganggu kerana banyak urusan rasmi yang perlu dibereskan, melayan tetamu dan sebagainya.

Memandangkan beberapa fakta di atas, adalah tidak adil jika Kementerian Pelajaran memilih pengetua dan sekolah tertentu saja untuk kenaikan pangkat gred DG52. Saya berharap semua pengetua yang berada di gred DG48 hakiki dan lulus peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) diserap terus ke gred DG52.

Memang menyedihkan ramai pengetua DG48 Hakiki yang tangga gaji maksimum tidak dapat tangga gaji gred DG52 sedangkan perkhidmatan mereka ada tiga atau empat tahun lagi sebelum bersara.

Kami berharap Menteri Pelajaran dan pegawai kanan kementerian memikirkan nasib pengetua seperti kami. Semua pengetua sekolah menengah di negara ini berusaha merealisasikan falsafah pendidikan negara, visi dan misi kementerian dan yang terbaru Pelan Tindakan Pembangunan Pendidikan. Persoalannya mengapakah gred DG pengetua dibeza-bezakan.

PENGETUA HAMPIR BERSARA,
Muar, Johor.

No comments: