28 March 2007

Kakitangan awam perlu bijak guna kad kredit

Sumber: Utusan Online

JOHOR BAHRU 27 Mac – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengingatkan kakitangan awam supaya mengawasi penggunaan kad kredit agar tidak dibebani hutang dan diisytiharkan bankrap.

Presidennya, Omar Osman berkata, masalah hutang yang tidak dapat dijelaskan boleh menyebabkan kakitangan awam turut menghadapi risiko kehilangan pekerjaan.

‘‘CUEPACS mendapat maklumat, terdapat ramai ahli kesatuan yang menghadapi masalah hutang kad kredit dan cuba menyelesaikannya dengan cuba membuat pinjaman koperasi.

Berbelanja

‘‘Oleh itu saya meminta institusi kewangan supaya tidak memberikan had kredit yang terlalu tinggi kepada kakitangan awam manakala kakitangan awam pula perlu bersikap lebih bertanggungjawab dan tidak berbelanja sesuka hati,’’ katanya.

Omar berkata demikian kepada pemberita selepas taklimat khas CUEPACS kepada Kesatuan Kakitangan Am Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di UTM dekat sini hari ini.

Jelasnya, CUEPACS akan mengadakan mesyuarat pada 21 April ini bagi membantu ahli-ahlinya yang menghadapi masalah bebanan hutang kad kredit.

Beliau menambah, biarpun terdapat ramai kakitangan awam yang dibebani dengan hutang kad kredit tetapi belum ada lagi diisytiharkan muflis.

‘‘Pihak bank dan institusi kewangan perlu memastikan had kredit yang diberikan kepada kakitangan awam adalah sepadan dengan pendapatan mereka.

‘‘Had kredit yang terlalu tinggi berbanding dengan pendapatan bulanan akan menyebabkan kakitangan awam menggunakan kad kredit dengan sewenang-wenangnya kemudian dibelenggu bebanan hutang,” kata Omar.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kes kebankrapan melibatkan pengguna kad kredit muda yang baru memulakan kerjaya perlu dibendung.

Salah satu usaha untuk mendidik mereka ialah melalui latihan dan pendedahan mengenai cara-cara menguruskan pendapatan masing-masing, tambah Timbalan Perdana Menteri.

No comments: