09 October 2008

Solah Mat Hassan Dilantik Ketua Pengarah JPJ

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Solah Mat Hassan dilantik Ketua Pengarah jabatan itu berkuatkuasa 6 Okt, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan mengumumkan hari ini.

Solah, 55, menggantikan Datuk Ahmad Mustapha Abdul Rashid yang bertukar ke Jabatan Perkhidmatan Awam.

Tempat Solah diambil alih Ruhaizah Mohamed Rashid, 51, Pengurus Besar Perbadanan Aset Kereta Api di Kementerian Pengangkutan.

Dalam satu kenyataan, Rabu, Sidek juga mengumumkan pelantikan Pengarah Bahagian Pengurusan Belanjawan di Kementerian Kewangan Datuk Latifah Abu Mansor sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) berkuatkuasa 17 Okt ini.

Latifah, 56, menggantikan Datuk Ibrahim Mahaludin Puteh yang akan tamat kontrak perkhidmatan pada 16 Okt.

Pengarah Kanan Bahagian Dasar Sektoral Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Kamaruddin Ismail pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Perindustrian) di kementerian sama mulai 19 Okt.

Kamaruddin, 55, menggantikan Datuk Ooi Say Chuan yang bersara wajib pada tarikh sama.

Pengarah Seksyen Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Baharom Jani, 53, pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mulai 6 Okt.

Beliau menggantikan Datuk Mohd Mokhtar Ismail yang dilantik Ketua Setiausaha kementerian berkenaan 23 Sept lepas.

-- BERNAMA

Wujudkan Jabatan Penguat Kuasa KPDNHEP

Utusan Online

SAYA amat tertarik membaca artikel di muka surat 8 ruangan Rencana Pengarang, Utusan Malaysia pada 7 Oktober 2008 yang memaparkan kekecewaan penulis mengenai isu kenaikan harga barang, kekurangan bekalan dan beberapa isu besar kepenggunaan yang telah menimbulkan keresahan dan pelbagai tanggapan.

Sebagai pengguna, saya juga turut berasa bimbang kerana pendapatan kita semua semakin mengecut secara mendadak. Selaku Presiden Kesatuan Pegawai-Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPPM) pula, saya lagi teramat bimbang kerana mahu atau tidak orang ramai pasti meletakkan kesalahan di bahu anggota penguat kuasa tanpa melihat kekangan yang dihadapi.

Saya juga berharap agar ahli KPPM serta anggota penguat kuasa tidak cepat marah dengan tuduhan yang kurang enak kerana ia hanyalah persepsi. Persepsi ini berlaku mungkin disebabkan orang ramai mengharapkan bahagian penguat kuasa berfungsi dengan berkesan sebagaimana yang berlaku sebelum tahun 2006 tetapi keadaan sekarang sudah berubah.

Anggota penguat kuasa sebenarnya bukan hendak melepaskan diri daripada tanggungjawab ini tetapi dalam apa juga tindakan terpaksa mematuhi peraturan yang ada berpandukan struktur baru kementerian dan bahagian penguat kuasa.

Negara kita bukannya tidak pernah menghadapi masalah sebegini. Isu tekanan harga gula dan harga tepung gandum contohnya telah berlaku beberapa kali sejak puluhan tahun dahulu tetapi telah dapat ditangani dengan jayanya oleh bahagian penguat kuasa sama ada semasa di bawah Kementerian Perdagangan dan Perindustrian mahupun di bawah kementerian sekarang. Ketika itu kemelut harga dan bekalan tetap dapat diatasi dalam jangka masa yang pendek ataupun sementara.

Sedangkan ketika itu, anggota penguat kuasa di seluruh negara tidak melebihi 500 orang. Kini, dengan bilangan anggota yang bertambah sehingga lebih 2,000 orang, masalah semakin rumit pula.

Saya percaya untuk memastikan bahagian penguat kuasa terus dapat berfungsi dengan berkesan, ia haruslah dirombak semula dan dijadikan sebagai sebuah jabatan. Dengan cara demikian banyak masalah yang dihadapi boleh diambil tindakan dengan segera.

Bukan itu sahaja, masalah dalaman yang mengganggu kelicinan tugas penguatkuasaan akan dapat ditangani dengan lebih cekap.

Kelemahan yang ada mesti diatasi segera jika tidak banyak lagi masalah akan melanda pengguna dan negara. Jangan fikirkan apa yang berlaku hanya melibatkan isu harga semata-mata. Ia akan mengundang lebih banyak masalah lain yang lebih serius seperti sorok barang, diskriminasi dalam memilih dan meletakkan harga ke atas pelanggan, penipuan timbangan atau sukatan, penipuan kualiti barang, penipuan status halal, pengiklanan palsu, lambakan barang tidak selamat dalam negara dan macam-macam lagi.

Agensi penguat kuasa mesti diuruskan oleh golongan yang pakar dalam bidang penguatkuasaan. Ini bukan masanya untuk memikirkan kepentingan mana-mana skim perkhidmatan tertentu, tetapi utamakan kepentingan negara.

Persepsi tentang penguatkuasaan juga haruslah dikaji semula. Bukan semua yang baru itu baik dan bukan semua yang lama itu tidak betul. Dalam hal ini, urusan mengawal penyelewengan dalam perniagaan barang kawalan melalui pelesenan harus diletakkan semula di bawah bidang tugas bahagian penguat kuasa kerana ia lebih bersifat regulatory dan bukannya development.

Begitu juga dengan fungsi pendidikan. Ia seharusnya diletakkan semula di bawah bidang tugas bahagian penguat kuasa sebagaimana dahulu.

Dengan cara itu, penguatkuasaan akan menjadi lebih mantap dan berkesan kerana ketiga-tiga elemen undang-undang, peraturan pelesenan dan pencegahan melalui pendidikan digerakkan secara tersusun.

Pendekatan sebegini telah digunakan sejak dahulu oleh bahagian penguat kuasa dan ternyata ia amat berkesan. Ia juga turut diaplikasikan oleh agensi penguatkuasaan lain seperti Badan Pencegah Rasuah dan PDRM.

Jika ada pandangan yang mengatakan bahawa fungsi penguatkuasaan tidak lagi relevan dalam zaman moden ini hanya berpandukan amalan self regulatory di negara maju, maka saya percaya ideologi itu akan membawa padah kepada rakyat negara ini.

Bagi negara sedang membangun seperti Malaysia, impian untuk sampai ke tahap itu masih jauh lagi. Jangan tergopoh-gapah. Banyak persediaan dan perubahan sama ada dari segi sosial, ekonomi dan pendidikan perlu dilakukan terlebih dahulu.

Bahagian penguat kuasa perlu dimantapkan dan diperkasakan melalui proses autonomi.

RUS BAKARURRAINI SHAHFEI
Presiden KPPM

NUTP diminta kumpul maklumat kes penganiayaan guru

Utusan Online

KUALA TERENGGANU 8 Okt. - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) diminta mengumpulkan maklumat mengenai kes penganiayaan terhadap guru- guru di seluruh negara bagi membolehkan tindakan diambil.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, maklumat itu penting bagi membolehkan kementerian mencari kaedah terbaik untuk menangani isu berkenaan yang sering dipaparkan melalui media massa.

Menurut beliau, antara kes penganiayaan yang sering dilaporkan termasuk guru dipukul, disaman dan ditukarkan ke tempat lain atas alasan yang tidak munasabah.

Selain itu, katanya, campur tangan pihak lain terutama ibu bapa juga boleh mendatangkan kesan ke atas guru terbabit yang menyebabkan kesungguhan guru untuk mendidik pelajar terbantut.

''Akibat daripada perkara itu didapati ada guru yang prestasi mereka merosot kerana bimbang keselamatan diri dan ini akan memberi kesan negatif kepada pelajar,'' katanya selepas majlis motivasi dengan pelajar Sekolah Menengah Agama Sheikh Abdul Malik di sini hari ini.

Menurutnya, perkara itu akan dikemukakan kepada NUTP pada masa terdekat dalam usaha membantu kementerian mengenal pasti dan menangani masalah tersebut.

Dalam perkembangan lain, Razali yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu mahu setiap guru membuat persediaan yang rapi sebelum memulakan pengajaran di dalam kelas.

Katanya, ia bertujuan memastikan guru lebih bersedia dalam menyampaikan bahan ketika mengajar sekali gus pelajar dapat memahami apa yang disampaikan.

Selain itu, jelas beliau, kreativiti guru semasa mengajar juga amat penting supaya pelajar dapat menguasai subjek yang disampaikan dengan baik.

Setahun tunggu anjakan gaji

Berita Harian

SAYA adalah guru siswazah DG 41 lantikan 1994 yang ketika itu ialah DG 3. Saya mula mengambil PTK 702 pada 2003 dan selepas semakan semula, saya hanya lulus PTK 702/02 Kompetensi Khusus.

Sejak itu saya terus menduduki PTK 702/01 Kompetensi Umum dan keputusan terbaik lulus aras 111 dan tidak layak untuk anjakan gaji P3, namun layak ke DG 44, tetapi tidak tersenarai.

Kali terakhir saya menduduki PTK 702/01 ialah pada 13 Mac 2008 dan lulus aras IV yang bermakna saya layak untuk anjakan gaji P3.

Apabila saya bertanyakan kepada Pembantu Tadbir mengenai perkara itu, beliau memberitahu anjakan gaji saya hanya pada Julai 2009.

Ini bermakna saya terpaksa menunggu setahun lebih untuk mendapatkan anjakan gaji P3.

Sekiranya saya dinaikkan ke DG 44 pada akhir tahun ini, bermakna saya tidak sempat menerima anjakan gaji P3 di DG 41. Mungkin ramai rakan guru senasib dengan saya.

Apa yang mampu dikatakan hanya tiada rezeki P3 di DG 41 walaupun layak. Inilah yang dikatakan 'nak lulus payah, tapi dah lulus tak bererti'.

Memang satu perbezaan besar dari segi gaji sekiranya saya menerima anjakan gaji P3 dan kemudian dinaikan ke DG 44 berbanding menerima DG 44 sebelum anjakan gaji P3 dan ia membawa kesan sehingga saya bersara dan apabila pencen. Yang pasti, ia satu kerugian bagi saya.

Saya berharap JPA mengkaji kes itu agar guru terbabit tidak teraniaya.

Guru bukan seperti pegawai Pegawai Tadbir Diplomat yang pada usia 30-an sudah berada dalam kategori DG 44 atau mungkin DG 48.

GURU DG41,
Kulai, Johor.

Kementerian diminta selaras gaji Pegawai Pelajaran Daerah di Sabah

Berita Harian

KOTA KINABALU: Kementerian Pelajaran diminta menyelaraskan tangga gaji semua pegawai pelajaran daerah di Sabah kepada DG52 berbanding DG48 yang dinikmati sebahagian besar golongan terbabit.

Exco Pelajaran negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata ketika ini hanya enam Pegawai Pelajaran Daerah menikmati skim tangga gaji DG52, manakala selebihnya masih berada di tangga gaji DG48.

Katanya, Kementerian Pelajaran wajar menyelaraskan tangga gaji semua Pegawai Pelajaran Daerah di Sabah kepada DG52 kerana mereka mempunyai tugas sama sebagai ketua pentadbir pelajaran peringkat daerah.

Langkah menyelaraskan tangga gaji pegawai terbabit juga, katanya, perlu supaya kedudukan mereka sama dengan Pegawai Pelajaran Daerah di Semenanjung yang menikmati tangga gaji DG52.

“Di Sabah, ada 23 Pegawai Pelajaran Daerah tetapi hanya enam yang diberikan tangga gaji DG52 iaitu Pegawai Pelajaran Daerah Kota Kinabalu, Tuaran, Tawau, Sandakan, Lahad Datu dan Keningau.

“Saya difahamkan Kementerian Pelajaran tidak menaikkan tangga gaji semua Pegawai Pelajaran Daerah di negeri ini kerana bilangan sekolah yang ditadbir di setiap daerah tidak banyak berbanding Semenanjung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sabah (PPSMS) dan pelancaran Album Sekolah Menengah Sabah di sini, semalam.

08 October 2008

Rewards for Sabah Sarawak, teachers

NSTP

SEREMBAN: Teachers willing to be transferred to rural areas, especially in Sabah and Sarawak, will soon enjoy monetary rewards, said Deputy Education Minister Datuk Razali Ismail.

"The ministry is aware of the sacrifices these teachers are making and has come up with a special allowance, ranging from RM500 to RM1,500 for them."

He said the ministry also wanted Sabah and Sawarak residents to join the profession.

The ministry had to turn to teachers from peninsular Malaysia to volunteer to teach in rural areas, Razali added.

"We need more Sabah and Sarawak people to teach in their states as they would be more suited and knowledgeable of local customs and traditions," he said after opening the Teachers Resource Centre (PKG) Convention 2008 at Sekolah Menengah Kebang-saan King George here.

He aslo said the ministry had organised walk-in interviews to attract non-Malays to become teachers to boost racial integration in national schools.

Rewards for Sabah Sarawak, teachers

NSTP

SEREMBAN: Teachers willing to be transferred to rural areas, especially in Sabah and Sarawak, will soon enjoy monetary rewards, said Deputy Education Minister Datuk Razali Ismail.

"The ministry is aware of the sacrifices these teachers are making and has come up with a special allowance, ranging from RM500 to RM1,500 for them."

He said the ministry also wanted Sabah and Sawarak residents to join the profession.

The ministry had to turn to teachers from peninsular Malaysia to volunteer to teach in rural areas, Razali added.

"We need more Sabah and Sarawak people to teach in their states as they would be more suited and knowledgeable of local customs and traditions," he said after opening the Teachers Resource Centre (PKG) Convention 2008 at Sekolah Menengah Kebang-saan King George here.

He aslo said the ministry had organised walk-in interviews to attract non-Malays to become teachers to boost racial integration in national schools.

Syor pusat latihan kapal selam di Teluk Sepanggar

Berita Harian

Dua Scorpene baru dijangka tiba Julai tahun depan, 2010

CARTAGENA (Sepanyol): Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bercadang menubuhkan sebuah pusat latihan kapal selam di pangkalannya di Teluk Sepanggar, Sabah yang akan menempatkan dua kapal selam jenis Scorpene.

"Kita akan menjalankan latihan di negara sendiri, dan kita memperoleh alat simulator bagi melatih warga kapal selam," kata Panglima TLDM, Laksamana Datuk Abdul Aziz Jaafar kepada pemberita Malaysia pada raptai pelancaran kapal selam kedua jenis Scorpene di limbungan Navantia di sini, kelmarin.

Kapal selam itu akan dilancarkan secara rasmi dan dinamakan KD Tun Razak sempena nama Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein oleh Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, hari ini. Seri Paduka Baginda akan berada di sini bersama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Abdul Aziz berkata, buat beberapa tahun pertama, TLDM akan terus mendapat bantuan Perancis dalam usaha menubuhkan pusat latihan itu dan meningkatkan keupayaan bagi melatih warga kapal selam Malaysia di pangkalan TLDM di Teluk Sepanggar berharga RM690 juta yang dijangka siap pada Februari tahun depan.

Malaysia menempah dua kapal selam baru jenis Scorpene berharga RM3.4 bilion pada 2002. Kapal selam itu dibina secara bersama oleh syarikat pembuat kapal Perancis, DCNS dan rakan kongsinya, Navantia dari Sepanyol.

Kapal selam pertama TLDM yang dinamakan KD Tunku Abdul Rahman sempena nama Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, dilancarkan di limbungan DCNS di Cherbourg, Perancis, Oktober tahun lalu.

KD Tunku Abdul Rahman akan ditauliahkan pada 25 Januari 2009 dan belayar pulang ke Malaysia pada Mei dan dijangka tiba penghujung Julai tahun depan.

Abdul Aziz berkata KD Tunku Abdul Rahman menyertai Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi (Lima) pada Disember 2009.

KD Tun Razak pula akan ditauliahkan pada 25 Oktober 2009 dan belayar pulang ke Malaysia pada Januari 2010 dan dijangka tiba dua bulan selepas itu.

Seramai 142 pegawai dan anggota TLDM menjalani latihan di Perancis untuk mengendalikan kedua-dua kapal selam TLDM itu.

"Kita menghargai kerjasama dan bantuan daripada tentera laut Perancis dan Sepanyol menjayakan program latihan warga kapal selam kita," katanya.

Katanya kapal selam itu adalah aset penting kepada TLDM dalam tugas pengawasan, perisikan, serangan dan kerahan komando Paskal (Pasukan Khas Laut).

Beliau berharap kerajaan akan menimbang untuk membeli sebuah kapal sokongan pelbagai tugas untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ekoran rampasan dua kapal dagang milik MISC Berhad oleh lanun di perairan Somalia, baru-baru ini. - Bernama

Pembantu guru pendidikan khas terima elaun RM200

Berita Harian

SERAMAI 3,209 Pembantu Pengurusan Murid yang akan menerima elaun khas RM200 sebulan mulai sesi persekolahan tahun depan membabitkan semua Sekolah Pendidikan Khas.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata daripada jumlah itu, 128 Pembantu Pengurusan Murid prasekolah, manakala 1,836 lagi kelas di 2,488 sekolah rendah dan sekolah menengah seluruh negara.

“Imbuhan ini sebagai insentif kepada mereka yang begitu berdedikasi melaksanakan tugas sebagai pembantu guru dalam memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran bagi golongan berkeperluan khas.

“Selain itu, mereka juga bertanggungjawab mengendalikan keperluan dan peralatan mengajar bagi memudahkan tugas guru, selain menguruskan pelajar antaranya ke tandas.

“Tugas ini memerlukan individu yang benar-benar sabar dan sedia berdepan kerenah pelajar yang begitu memerlukan perhatian,” katanya ketika ditemui di Putrajaya, baru-baru ini.

Sambil menjelaskan kerajaan memperuntukkan RM7.7 juta setahun untuk elaun itu, Wee berkata, pihaknya turut mengadakan seminar dan kursus untuk pembantu terbabit bagi membincangkan masalah pelajar berkeperluan khas.

Katanya, imbuhan semata-mata tidak mencukupi kerana mereka juga memerlukan semangat tinggi untuk menguruskan pelajar yang mempunyai pelbagai masalah, antaranya tidak dapat menguruskan diri sendiri.

“Pemberian elaun khas berkenaan wajar kerana sebelum ini kerajaan menaikkan elaun murid pendidikan khas daripada RM100 kepada RM150 sebulan,” katanya.

05 October 2008

Pegawai diminta bantu polis trafik

Berita Harian

SHAH ALAM: Pegawai kerajaan Kumpulan A yang dalam perjalanan pulang ke ibu kota atau melalui Lembah Klang untuk ke Selatan, diminta membantu polis trafik dengan melaporkan kesalahan jalan raya yang dilakukan pengguna jalan raya sepanjang perjalanan mereka.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam, Superintendan Che Hussin Omar, berkata mereka yang bercuti ke kampung masing-masing boleh membantu polis trafik mengenal pasti pesalah jalan raya yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk memotong dari kiri, menggunakan laluan kecemasan dan melanggar lampu isyarat.

Katanya, sebagai pegawai kerajaan Kumpulan A, integriti mereka dipercayai untuk melaporkan kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya tanpa prejudis dan berat sebelah.

"Mereka boleh bertindak untuk mencatat nombor pendaftaran kenderaan, jenis kenderaan, tempat kejadian dan masa kejadian sebelum melaporkan kesalahan itu kepada bilik gerakan trafik terdekat atau ke talian 1-800-88-2677.

"Pegawai kerajaan Kumpulan A lebih senang mengesan perbuatan pengguna jalan raya yang melanggar peraturan kerana mereka tidak mengenakan pakaian seragam berikutan ramai pengguna jalan raya hanya memandu secara berhemah apabila mereka ternampak kelibat anggota polis bertugas," katanya kepada Berita Minggu semalam.

Che Hussin berkata, jalan raya di sekitar Lembah Klang termasuk di Selangor mula sibuk sejak semalam dan dijangka hari ini berikutan penghuni kota mula kembali ke kediaman masing-masing selepas bercuti untuk menyambut Aidilfitri.

Sementara itu, jumlah kemalangan di Selangor sehingga hari ke 10 Ops Sikap XVII dilaksanakan, mencatatkan penurunan 161 kes berbanding tempoh sama, tahun lalu.

Katanya, sehingga kelmarin, 2,495 kes dicatatkan berbanding 2,656 sepanjang tempoh sama pada perayaan Aidilfitri lalu.

Bagaimanapun, jumlah kemalangan maut meningkat daripada 20 kes sepanjang tempoh sama tahun lalu ke 28 sepanjang 10 hari Ops Sikap XVII, membabitkan 35 kematian, meningkat 10 kematian berbanding tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, sebanyak 15,944 saman sudah dikeluarkan kepada pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang jalan raya seperti memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat merah, memotong dari kiri, memandu di laluan kecemasan dan saman yang dikeluarkan bagi kes kemalangan.