Showing posts with label KSU. Show all posts
Showing posts with label KSU. Show all posts

20 January 2010

embebasan Bekas KSU Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dikekalkan

PUTRAJAYA, 20 Jan (Bernama) -- Mahkamah Rayuan Rabu mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang membebaskan dan melepaskan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Aziz Muhammad daripada pertuduhan bersubahat dalam kes pecah amanah dan menipu.

Panel hakim terdiri daripada Datuk Suriyadi Halim Omar, Datuk Hasan Lah dan Datuk Ahmad Maarop sebulat suara menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan itu.

Aziz, 65, kini seorang ahli perniagaan, pada awalnya disabitkan dan dikenakan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen pada 2005 bagi kesalahan bersubahat dengan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tengah Terengganu (Ketengah) Datuk Alwi Said melakukan pecah amanah RM2 juta milik Ketengah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Kewangan di Jalan Raja Chulan antara 27 April dan 31 Julai, 1999.

Dia juga dihukum penjara lima tahun bagi pertuduhan menipu Menteri Kewangan Kedua pada ketika itu, Datuk Mustapa Mohamed, melalui pegawai Kementerian Kewangan, untuk mempercayai bahawa pelaburan Ketengah sebanyak RM9 juta dalam projek tanaman orkid, ternakan ikan dan rekreasi di Tasik Puteri, Bukit Besi, Dungun, berjalan lancar.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Kewangan di Jalan Duta, Kuala Lumpur, antara 24 Jun dan 9 Ogos, 1999.

Mahkamah Sesyen memerintahkan hukuman itu dilaksanakan serentak tetapi Mahkamah Tinggi pada 16 Nov, 2008 membebaskan dan melepaskannya selepas membenarkan rayuannya.



-- BERNAMA

19 January 2010

Long See Wool Dilantik Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) Kementerian Pengangkutan Datuk Long See Wool dilantik sebagai Ketua Setiausaha kementerian berkenaan mulai 26 Jan ini, menggantikan Datuk Seri Zakaria Bahari yang akan tamat tempoh perkhidmatan pada 25 Jan.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata pelantikan Long, 55, dibuat berdasarkan pengalaman luas beliau dalam bidang pengurusan pengangkutan.

"Saya percaya pengalaman dan pengetahuan mendalam beliau mengenai polisi dan pengurusan pengangkutan akan membolehkan Datuk Long See Wool mengetuai Kementerian Pengangkutan dengan penuh integriti dan efisien bagi mencapai 'outcome' yang dipertanggungjawabkan.

"Ini termasuk membantu merealisasikan hasrat kerajaan untuk menyediakan rangkaian sistem pengangkutan awam yang komprehensif bagi memenuhi keperluan rakyat, seperti yang digariskan di bawah salah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA)," kata Sidek.

Long yang dilahirkan di Bukit Fraser, Pahang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sejarah/Hubungan Antarabangsa dari Universiti Malaya (UM).

Beliau telah bertugas di kementerian berkenaan pada keseluruhan karier perkhidmatannya sebaik saja menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 26 Nov 1979.

Antara jawatan yang dipegang Long di kementerian itu ialah Penolong Setiausaha (1979-1983), Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Udara (1983-2002), Setiausaha Bahagian Udara (2002-2006), dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) mulai 1 Nov 2006.

-- BERNAMA

12 December 2009

Menteri, KSU pantau projek sakit

Berita Harian

KEMENTERIAN Kerjaraya merujuk surat bertajuk 'Kontraktor projek sakit patut disingkir' tulisan Antiprojek sakit yang disiarkan ruangan ini 2 Disember lalu. Untuk makluman, Kementerian Kerjaraya sentiasa mengambil perhatian serius terhadap projek sakit kerana mendatangkan kesan buruk terhadap rakyat dan pembangunan negara.

Dalam usaha meminimumkan projek sakit, ia dijadikan antara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kementerian Kerjaraya iaitu dengan memastikan tidak melebihi tiga peratus daripada jumlah projek dilaksanakan.

Antara usaha lain dijalankan kementerian ialah mempergiatkan pemantauan projek di seluruh negara.

Dalam hal ini, pegawai sokongan serta atasan kementerian ditetapkan dengan kekerapan pemantauan tertentu yang mesti dilaksanakan sebulan.

Menteri Kerjaraya misalnya, akan turun padang melawat sekurang-kurangnya satu projek bermasalah setiap bulan, manakala Ketua Setiausaha (KSU) melawat sekurang-kurangnya tiga projek bermasalah sebulan.

Bilangan projek sakit yang diperoleh hasil pemantauan dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan untuk dibincangkan lebih teliti. Di samping itu seperti yang disarankan Anti Projek Sakit', kementerian memang mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor projek sakit yang mempunyai kelemahan pengurusan serta tidak menunjukkan kesungguhan mempertingkatkan kemajuan projek.

Kontraktor yang ada kelemahan seperti disebutkan itu, dibatalkan kontrak. Syarikat dan lembaga pengarah serta pengurusannya disenaraihitamkan daripada memperoleh projek kerajaan pada masa akan datang.

MOHD RIZAL HASHIM,
Pegawai Perhubungan Awam
Kementerian Kerjaraya.