12 December 2009

Menteri, KSU pantau projek sakit

Berita Harian

KEMENTERIAN Kerjaraya merujuk surat bertajuk 'Kontraktor projek sakit patut disingkir' tulisan Antiprojek sakit yang disiarkan ruangan ini 2 Disember lalu. Untuk makluman, Kementerian Kerjaraya sentiasa mengambil perhatian serius terhadap projek sakit kerana mendatangkan kesan buruk terhadap rakyat dan pembangunan negara.

Dalam usaha meminimumkan projek sakit, ia dijadikan antara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kementerian Kerjaraya iaitu dengan memastikan tidak melebihi tiga peratus daripada jumlah projek dilaksanakan.

Antara usaha lain dijalankan kementerian ialah mempergiatkan pemantauan projek di seluruh negara.

Dalam hal ini, pegawai sokongan serta atasan kementerian ditetapkan dengan kekerapan pemantauan tertentu yang mesti dilaksanakan sebulan.

Menteri Kerjaraya misalnya, akan turun padang melawat sekurang-kurangnya satu projek bermasalah setiap bulan, manakala Ketua Setiausaha (KSU) melawat sekurang-kurangnya tiga projek bermasalah sebulan.

Bilangan projek sakit yang diperoleh hasil pemantauan dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan untuk dibincangkan lebih teliti. Di samping itu seperti yang disarankan Anti Projek Sakit', kementerian memang mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor projek sakit yang mempunyai kelemahan pengurusan serta tidak menunjukkan kesungguhan mempertingkatkan kemajuan projek.

Kontraktor yang ada kelemahan seperti disebutkan itu, dibatalkan kontrak. Syarikat dan lembaga pengarah serta pengurusannya disenaraihitamkan daripada memperoleh projek kerajaan pada masa akan datang.

MOHD RIZAL HASHIM,
Pegawai Perhubungan Awam
Kementerian Kerjaraya.

No comments: