Lantikan Bekas Pegawai Tinggi K'jaan Sbg Pengerusi Dalam Organisasi Perlu Dihadkan - Dewan Negara
KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Kerajaan Khamis disaran supaya mengehadkan jumlah jawatan pengerusi yang dipegang oleh seseorang bekas pegawai tinggi kerajaan dalam organisasi dan agensi kerajaan.
Beberapa senator Dewan Negara berkata pihak-pihak lain yang berkelayakan, termasuk anggota Dewan Negara perlu diberi peluang untuk memegang jawatan tersebut.
Senator Datuk Ridzuan Abd Hamid semasa membahaskan Rang Undang-Undang Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Peruntukan Khas)(Pindaan) 2008 pada persidangan Dewan Negara di sini mendakwa terdapat bekas Ketua Setiausaha Negara dan juga bekas ketua setiausaha (KSU) kementerian yang dilantik sebagai pengerusi 30 hingga 40 syarikat milik kerajaan.
Beliau berkata walaupun tidak menjadi kesalahan untuk melantik bekas pegawai tinggi kerajaan menjawat jawatan pengerusi di sesebuah syarikat, bagaimanapun tempoh mereka berkhidmat hendaklah tidak terlalu panjang dan tidak memegang jawatan pengerusi yang terlalu banyak.
"Jangan bagi terlalu lama, dua tahun hendak sambung setahun lagi oklah, bagi pada orang lain pulak. Banyak lagi bekas KSU yang menunggu, bagi kat seorang sampai 30 ke 40 syarikat tak munasabah," katanya.
"Sudah lama kita perkatakan (perkara ini)," katanya dan turut bertanya adakah orang lain tidak sehebat bekas pegawai tinggi kerajaan dan turut mendakwa penjawat awam telah menikmati pelbagai ganjaran daripada kerajaan.
Sementara itu Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata pelantikan pegawai tinggi kerajaan dalam jawatan tersebut dilihat terlalu ramai sehingga mengetepikan golongan lain yang juga berkemampuan.
Malah, ada bekas pegawai tinggi ini umur mereka sudah mencapai 60 tahun tetapi diberi "lagi penambahan kontrak hingga empat atau lima tahun, dan lepas itu bagi pulak menjadi pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," dakwanya.
Persidangan dewan disambung Isnin.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment