Showing posts with label Jakim. Show all posts
Showing posts with label Jakim. Show all posts

08 March 2010

Pegawai syariah wajar ditempatkan di kedutaan

Berita Harian

Rakyat bermastautin di luar negara boleh berurusan perkara berkaitan perundangan Islam

MASYARAKAT Islam di negara kita dewasa ini agak kompleks. Mereka tidak hanya tinggal di dalam negara, malah sering ke luar negara atas pelbagai urusan. Perubahan ini berlaku sejajar dengan perkembangan dan kemajuan dikecapi Malaysia.

Malah sesetengah rakyat Malaysia pula bermastautin di luar negara. Ada juga yang melangsungkan perkahwinan di luar negara dan tidak kurang juga yang menghadapi krisis rumah tangga di sana. Kedutaan Malaysia di luar negara serta Pejabat Pesuruhjaya Tinggi dan Konsul sering menjadi tumpuan bagi menyelesaikan permasalahan ini.

Namun pegawai yang bertugas di sana bukanlah seorang yang berkelayakan membantu dalam hal-ehwal undang-undang syariah. Walaupun ada pegawai agama ditempatkan di kedutaan Malaysia di luar negara, pegawai ini tidak berkemahiran dalam undang-undang Islam, kehakiman dan mahkamah syariah. Mereka juga tidak didedahkan sepenuhnya dengan tatacara di mahkamah syariah.

Dalam hal demikian, satu kajian dilakukan bagi mengkaji pewujudan fungsi mahkamah syariahdi kedutaan, pejabat pesuruhjaya tinggi dan konsul Malaysia di luar negara. Buat masa ini tidak ada peruntukan undang-undang yang jelas bagi menyokong saranan ini walaupun keperluannya dapat dilihat.

Oleh itu beberapa peruntukan undang-undang harus dipinda untuk membolehkan pengiktirafan dibuat ke atas saranan ini. Syor mewujudkan fungsi mahkamah syariah di kedutaan Malaysia di luar negara sudah pun dibuat bagi memberi perkhidmatan kepada rakyat Malaysia yang memerlukannya.

Antara perkhidmatan boleh diberikan ialah menyalurkan maklumat mengenai prosedur perkahwinan, perceraian, penjagaan anak, tuntutan nafkah, pusaka dan hibah. Begitu juga dengan permohonan kebenaran berkahwin di luar negara, wali hakim, aduan rumah tangga dan perkhidmatan mediasi.

Ada banyak kes membabitkan rakyat Malaysia beragama Islam bermastautin di luar negara dan mereka sering menghadapi masalah dan kelewatan kerana keterangan tidak dapat diambil di mahkamah syariah di Malaysia. Untuk mereka pulang ke tanah air semata-mata bagi memberi keterangan mungkin adalah amat tidak praktikal dan membabitkan kos tinggi.

Pegawai syariah ditempatkan di kedutaan Malaysia di luar negara dapat membantu hakim mencapai keputusan yang adil dan cepat, mengambil keterangan semasa perbicaraan, menguruskan kes secara sistematik dan menasihati rakyat Malaysia yang menghadapi masalah di luar negara.

Pegawai syariah juga boleh bertindak sebagai penasihat kepada rakyat Malaysia yang berada di luar negara dalam hal ehwal Islam. Sudah tentu persekitaran tidak Islamik di luar negara mengundang pelbagai persoalan berhubung kedudukan sebenar undang-undang Islam itu sendiri.

Cadangan ini pernah dibuat Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sebelum ini dan kajian sudah

dilakukan. Namun pelaksanaannya masih belum dibuat. Diharapkan kehadiran pegawai syariah di Kedutaan Malaysia di luar negara, perjalanan kes di mahkamah syariah dapat disegerakan di samping menjimatkan kos kepada rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara.

Mereka tidak perlu berulang alik ke tanah air semata-mata bagi menghadiri perbicaraan di mahkamah. Bagi merealisasikan saranan ini Akta Pentadbiran Agama Islam, Akta Undang-Undang Keluarga Islam dan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah hendaklah dipinda. Ini bertujuan memberi pengiktirafan terhadap siasatan dan perbicaraan dijalankan Pegawai Syariah di luar negara.

Namun kekangan utama mungkin bukan datang dari sudut undang-undang atau pegawai itu sendiri. Masalah paling utama ialah kos dan bebanan kewangan yang perlu digalas pihak kerajaan sekiranya ingin melaksanakan saranan ini. Walau apapun, kerajaan perlu meneliti saranan ini dengan mendalam dan objektif kerana ia memberi manfaat kepada rakyat Malaysia di luar negara.

Buat permulaan ini tumpuan harus diberikan kepada negara yang mempunyai bilangan rakyat Malaysia beragama Islam yang besar kerana mereka lebih memerlukan perkhidmatan ini.

Saya amat menyokong sekiranya pegawai syariah ditempatkan di kedutaan Malaysia di luar negara. Dengan cara ini juga kelengahan yang sering dihadapi dapat diminimumkan di samping itu juga ia memberi ruang lebih besar kepada Pegawai Syariah dalam konteks kenaikan pangkat dan peluang sampingan lain.

Masalah rumah tangga tidak hanya melanda pasangan suami isteri yang tinggal di dalam negara. Dengan kebebasan dan budaya yang berbeza di luar negara, ada kalanya ia juga antara faktor yang mempengaruhi hubungan suami isteri antara pasangan Islam yang bermastautin di luar negara. Keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya salah seorang pasangan suami isteri itu, bukan rakyat Malaysia.

# Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi melalui email di zainul.rijal@abubakar.my

09 December 2009

Wujudkan jabatan penguatkuasaan, pendakwaan syariah

Utusan Online

MELAKA 8 Dis. - Kualiti khidmat agensi penguat kuasa agama di negara akan dapat dimantapkan jika diwujudkan Jabatan Penguatkuasaan Syariah dan Pendakwaan Syariah Negeri.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, cadangan itu bertujuan mengatasi masalah kekurangan pegawai penguat kuasa agama yang semakin kritikal di beberapa negeri.

Menurutnya, walaupun terdapat usaha penstrukturan semula jawatan bagi memperkukuhkan bahagian penguatkuasaan tetapi ia masih belum mencukupi.

''Melalui usaha tersebut, jumlah anggota penguatkuasaan akan dapat ditambah untuk menjadikan mereka sebagai pasukan beruniform yang mempunyai skim khusus setaraf dengan agensi penguat kuasa lain di negara ini.

''Pada masa yang sama, bidang tugas penguatkuasaan syariah dapat diasingkan dan tidak lagi terlalu bergantung kepada pegawai penguatkuasaan jabatan agama Islam negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pegawai Penguat Kuasa Agama dan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia kali ke-5 di sini malam tadi.

Persidangan tiga hari anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan kerajaan negeri itu dihadiri kira-kira 100 pegawai penguat kuasa agama dan pendakwa syarie.

Pada majlis yang sama juga Mashitah melancarkan Buletin Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah.

Buletin tersebut membincangkan dan mengupas beberapa isu semasa mengenai agama Islam yang sering menimbulkan kontroversi.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz; Penasihat Undang-Undang negeri Melaka, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid; Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Rashid Redza Mohd. Salleh dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka, Sulaiman Harmain Shah.

Mengulas lanjut, Mashitah berkata, Jakim dan jabatan agama Islam negeri akan memperhalusi cadangan tersebut bagi memastikan penubuhannya dapat mengatasi masalah pertambahan dan kelewatan kes di Mahkamah Syariah seluruh negara.

''Walaupun ada kes-kes tertunggak berjaya dikurangkan tetapi pada masa yang sama ada jabatan agama yang masih kekurangan pegawai penguatkuasaan dan pegawai pendakwa syarie," katanya.

Sehubungan itu, jelas beliau, penubuhan jabatan tersebut akan dapat melicinkan lagi bidang tugas penguatkuasaan dan pendakwaan syariah.

Katanya, pada masa ini, terdapat seramai 1,114 pegawai penguat kuasa agama dan 440 pendakwa syarie di seluruh negara.

23 December 2008

Govt holding discussions to absorb Imams, Bilals into civil service

NSTP
KUALA LUMPUR, TUES:

The government is still discussing with State Islamic Religious Departments to include the posts of imam and bilal (mosque officials) in the civil service.

Deputy Minister in the Prime Minister’s Department, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim said the Department of Islamic Development Malaysia (Jakim) was spearheading the discussions but no decision had been finalised.

“Generally, imams and bilals are appointed by the state governments and their terms of service are subject to the states concerned,” she said when answering a question from Senator Wan Ramlah Wan Ahmad at the Dewan Negara today.

Wan Ramlah wanted to know when the federal government would place imams and bilals under the civil service to allow them a monthly salary like other civil servants.

06 September 2008

Jakim tak sambil lewa

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan pihaknya tidak harus dipersalahkan berikutan kegagalan melaksanakan tanggungjawab dengan baik bagi memastikan semua urusan berkaitan proses pengeluaran pensijilan halal dapat dilakukan dengan cepat, selain memenuhi prosedur yang ditetapkan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata Jakim tidak pernah mengambil sikap sambil lewa berhubung isu itu kerana ia membabitkan kesucian agama Islam.

“Semua pihak perlu faham situasi yang dihadapi oleh Jakim ketika itu. Bayangkan dengan kekurangan pelbagai kemudahan, terutamanya makmal yang dianggap penting bagi sebuah jabatan seperti Jakim. Kekurangan kakitangan untuk menguruskan pelbagai perkara turut menyebabkan berlakunya kelewatan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2007 yang menegur Jakim kerana mengeluarkan sebanyak 245 permohonan Sijil Halal hanya selepas enam tahun, melampaui tempoh yang ditetapkan iaitu empat bulan.