09 December 2009

Wujudkan jabatan penguatkuasaan, pendakwaan syariah

Utusan Online

MELAKA 8 Dis. - Kualiti khidmat agensi penguat kuasa agama di negara akan dapat dimantapkan jika diwujudkan Jabatan Penguatkuasaan Syariah dan Pendakwaan Syariah Negeri.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, cadangan itu bertujuan mengatasi masalah kekurangan pegawai penguat kuasa agama yang semakin kritikal di beberapa negeri.

Menurutnya, walaupun terdapat usaha penstrukturan semula jawatan bagi memperkukuhkan bahagian penguatkuasaan tetapi ia masih belum mencukupi.

''Melalui usaha tersebut, jumlah anggota penguatkuasaan akan dapat ditambah untuk menjadikan mereka sebagai pasukan beruniform yang mempunyai skim khusus setaraf dengan agensi penguat kuasa lain di negara ini.

''Pada masa yang sama, bidang tugas penguatkuasaan syariah dapat diasingkan dan tidak lagi terlalu bergantung kepada pegawai penguatkuasaan jabatan agama Islam negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pegawai Penguat Kuasa Agama dan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia kali ke-5 di sini malam tadi.

Persidangan tiga hari anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan kerajaan negeri itu dihadiri kira-kira 100 pegawai penguat kuasa agama dan pendakwa syarie.

Pada majlis yang sama juga Mashitah melancarkan Buletin Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah.

Buletin tersebut membincangkan dan mengupas beberapa isu semasa mengenai agama Islam yang sering menimbulkan kontroversi.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz; Penasihat Undang-Undang negeri Melaka, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid; Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Rashid Redza Mohd. Salleh dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka, Sulaiman Harmain Shah.

Mengulas lanjut, Mashitah berkata, Jakim dan jabatan agama Islam negeri akan memperhalusi cadangan tersebut bagi memastikan penubuhannya dapat mengatasi masalah pertambahan dan kelewatan kes di Mahkamah Syariah seluruh negara.

''Walaupun ada kes-kes tertunggak berjaya dikurangkan tetapi pada masa yang sama ada jabatan agama yang masih kekurangan pegawai penguatkuasaan dan pegawai pendakwa syarie," katanya.

Sehubungan itu, jelas beliau, penubuhan jabatan tersebut akan dapat melicinkan lagi bidang tugas penguatkuasaan dan pendakwaan syariah.

Katanya, pada masa ini, terdapat seramai 1,114 pegawai penguat kuasa agama dan 440 pendakwa syarie di seluruh negara.

No comments: