03 June 2009

Wajib bekerja dengan kerajaan

PUTRAJAYA: Semua pemegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mulai tahun ini tidak akan dilepaskan dan mesti bekerja dengan kerajaan selepas menamatkan pengajian, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Beliau berkata, keputusan yang diputuskan beberapa bulan lalu itu adalah adil kerana semua pemegang biasiswa menggunakan dana awam, dan JPA tahun ini membelanjakan sebanyak RM750 juta untuk menaja 2,000 pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran di luar negara.

“Mereka (pemegang biasiswa) perlu bekerja dengan kerajaan. Jangan lepaskan kerana mereka pelajar yang baik mereka memohon (pekerjaan) lain.
“Tidak bolehlah mereka mengatakan berkhidmat untuk negara tidak semestinya bekerja dengan kerajaan... tak bolehlah begitu,” katanya pada pertemuan dengan wakil media di pejabatnya di sini, semalam.

Mohd Sidek berkata, 20 peratus daripada 2,000 biasiswa JPA diberikan kepada pelajar yang mencatatkan keputusan A cemerlang, dan antara kriterianya memperoleh 100 peratus markah dalam setiap mata pelajaran.

Katanya, sebanyak 60 peratus lagi ditawarkan mengikut kaum secara adil, manakala pelajar Sabah dan Sarawak (10 peratus) serta latar belakang sosial (10 peratus).

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh menambah kuota 2,000 biasiswa itu kerana membabitkan beban kewangan yang tinggi.

Katanya, tahun ini seramai 14,000 pelajar memohon biasiswa melanjutkan pengajian dan kebanyakan memilih bidang perubatan di United Kingdom.

Daripada jumlah itu, katanya, hanya 8,000 dipanggil temu duga dan hanya 2,000 ditawarkan biasiswa.

Sementara itu, pada majlis berasingan, Mohd Sidek semalam melahirkan rasa kecewa terhadap kegagalan agensi kerajaan mewujudkan jalinan kerjasama mantap antara satu sama lain sehingga memberi kesan terhadap pelaksanaan sesuatu projek.

Beliau berkata, kegagalan agensi kerajaan itu berfungsi dengan berkesan menyebabkan banyak perkara berkaitan dasar dan perancangan gagal diselesaikan mengikut jadual, sekali gus menjejaskan sistem penyampaian kerajaan.

“Contoh kegagalan agensi kerajaan bekerjasama ialah pelaksanaan projek Balai Polis di Jalan Travers, Kuala Lumpur yang sudah siap dibina pada Disember 2008. Namun, sehingga dua minggu yang lalu, ia masih belum mendapat Sijil Layak Menduduki (CF).

“Saya sendiri terpaksa mempengerusikan mesyuarat pada 14 Mei lalu dan memutuskan supaya CF dikeluarkan pada keesokan harinya, tetapi sehingga 21 Mei lalu, CF masih belum dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Konvensyen Pemantapan Dasar Nilai Murni dalam perkhidmatan awam di sini. Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Wan Muhammad Sheikh Abdul Aziz.

Sehubungan itu, Mohd Sidek mengingatkan agensi yang bertanggungjawab untuk mengeluarkan CF supaya tidak menyukarkan keadaan dengan mengenakan syarat tambahan yang kebiasaannya berpunca dari penggunaan kuasa budi bicara.

“Kegagalan setiap agensi membudayakan sikap pemantauan di peringkat masing-masing menyebabkan semua perkara atau projek gagal disiapkan mengikut jadual,” katanya.

Beliau menggesa semua agensi kerajaan turut membantu kerajaan meningkatkan pencapaian, sekali gus selaras dengan konsep pentadbiran 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

“Rakyat kini tidak mahu lagi mendengar cakap kosong, sebaliknya mahu melihat sendiri bukti dan kesan positif di peringkat akar umbi hasil daripada usaha yang dilakukan oleh kerajaan,” katanya.

No comments: