02 June 2009

Agensi Pemberi Kelulusan Diingat Tidak Cuba Sukarkan Keadaan - KSN

BANGI, 2 Jun (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengingatkan agensi-agensi pemberi kelulusan agar tidak cuba menyukarkan keadaan dengan mengenakan syarat tambahan yang lazimnya berpunca daripada penggunaan kuasa budi bicara.

Beliau berkata setiap jabatan dan agensi kerajaan perlu membudayakan sikap pemantauan dan penguatkuasaan di peringkat masing-masing bagi memastikan semua perkara atau projek yang dilaksanakan mengikut jadual.

Katanya dasar dan peraturan sedia ada adalah komprehensif dan mencukupi, tetapi perlu dikuatkuasakan sewajarnya.

"Turun ke padang untuk melihat keadaan sebenar. Mana-mana pihak yang cuai perlu dikenakan tindakan agar kesalahan sama tidak berulang.

"Namun, di sebalik ketegasan dalam menguatkuasakan sesuatu dasar atau peraturan sedia ada, kita perlu bersikap adil dan sentiasa berintegriti untuk kebaikan semua pihak," katanya ketika merasmikan Konvensyen Pemantapan Dasar Nilai-Nilai Murni Dalam Perkhidmatan Awam di sini hari ini.

Mohd Sidek juga mahu penjawat awam sentiasa memberi keutamaan kepada kepentingan awam mendahului kepentingan sendiri terutama daripada segi pengurusan proses tender.

Katanya jika dibiarkan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan awam dan perkhidmatan, sudah tentu penjawat awam tidak dapat berlaku adil dan akan gagal menjalankan tugas dengan penuh amanah.

"Sebagai contoh, dalam pengurusan tender atau sebut harga tersebut mempunyai kaitan dengan kita, mungkin adik-beradik atau saudara-mara, maka sebaiknya kita menarik diri daripada urusan tender atau sebut harga tersebut bagi memastikan pengurusan proses tender yang bersih, adil dan saksama bagi kepentingan orang ramai," katanya.

Katanya ketepatan yang ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bukan sahaja perlu dibudayakan oleh masyarakat tetapi juga penjawat awam bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan menepati prinsip ketepatan, yang antara lain ketepatan masa dan fakta, sikap lebih teliti dan terperinci dalam menjalankan tugas.

Beliau berkata ini kerana budaya yang mementingkan prinsip ketepatan akan membolehkan Malaysia dikenali sebagai negara mengutamakan kualiti dan kecemerlangan seperti Jepun, Switzerland dan Jerman.

"Sebagaimana kita ketahui, jam Swiss dan kereta buatan Jerman dan Jepun begitu sinonim dengan ketepatan produk, kualiti dan kecemerlangan yang sepatutnya dicontohi oleh rakyat negara ini," katanya.

Mohd Sidek turut mengajak semua Ketua Jabatan untuk membina kecemerlangan di dalam organisasi masing-masing berdasarkan nilai-nilai murni yang ingin diterapkan melalui dasar dan pekeliling sedia ada.

"Di setiap peringkat dalam organisasi kita, perlu cemerlang. Sekiranya ketua jabatan, timbalan-timbalan dan beberapa pegawai atasan sahaja yang cemerlang, maka ini tidak akan memberi manfaat yang diharapkan.

"Kecemerlangan perlu diterapkan di setiap peringkat - pemandu, pembantu pejabat, pembantu pentadbiran yang cemerlang dan sebagainya," katanya.

Mohd Sidek berkata beliau percaya apabila ciri-ciri kecemerlangan ini dihayati dan diamalkan oleh setiap penjawat awam, perkhidmatan awam negara ini akan mencapai matlamat kelas pertama di dunia.

-- BERNAMA

No comments: