04 June 2009

Perketat prosedur lantik kontraktor perunding projek awam

Berita Harian

Kabinet setuju pengesahan bagi projek siap diteliti semula

KUALA LUMPUR: Kabinet yang membincangkan panjang lebar kejadian sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh, kelmarin mengarahkan supaya prosedur pelantikan kontraktor dan perunding projek pembangunan awam diperketatkan bagi menjamin tahap mutu kerja dan profesionalisme pihak terbabit.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata selain itu, Jemaah Menteri juga bersetuju supaya kerja pengesahan bagi projek yang sudah siap perlu diteliti semula.

Katanya, selain tindakan kerajaan negeri menubuhkan pasukan penyiasat, kerajaan Pusat mengarahkan Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor supaya meneliti peraturan sedia ada supaya kejadian sama tidak berulang.

"Biasanya sekarang, apabila kontraktor dilantik, kontraktor terbabit pula akan melantik perunding.

"Kita mahu pastikan ada pihak yang mendapat peluang pekerjaan dan agihan perniagaan tetapi pada masa sama, kita tidak boleh bertolak ansur mengenai mutu, profesionalisme dan kemampuan," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucap utama di Kongres Dewan Perniagaan Dunia (WCC) ke-6, serta perasmian Pameran Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (Smidex) 2009 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir; Pengerusi Persekutuan Dewan Perniagaan Dunia, Rona Yircali; Pengerusi Dewan Perniagaan Antarabangsa, Dr Victor Fung dan Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pemandu WCC, Datuk Mustafa Mansur.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi kelmarin, sebahagian struktur bumbung di tempat duduk utama, termasuk Pentas Diraja Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang keseluruhan pembinaannya bernilai RM292 juta di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, Kuala Terengganu ranap.

Stadium yang boleh memuatkan 50,000 orang itu dirasmikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lalu dan yang pertama di Asia dibina menggunakan sistem bumbung tanpa sokongan tiang.

Insiden yang anggaran kerugiannya mencecah RM25 juta itu berlaku sehari sebelum berlangsung Kejohanan Sukan Staff Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ke-34.

Ditanya mengenai kontraktor projek terbabit, Timbalan Perdana Menteri berkata: "Terserah kepada kerajaan Terengganu kerana ini bukan projek Persekutuan."

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, kerajaan negeri diminta bertindak mengikut peruntukan undang-undang dan syarat yang dikenakan ketika melantik kontraktor terbabit.

"Kerajaan Pusat memandang berat kerana ia projek pembangunan awam untuk tujuan sukan, tentunya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku kerana sepatutnya berlangsung kejohanan sukan hari ini (Rabu)," katanya.

No comments: