Kesal Hospital Kuala Terengganu
Utusan Online
KEBELAKANGAN ini, ramai yang mempertikaikan etika kerja doktor. Saya adalah salah seorang mangsa ketidakprofesionalan doktor.
Ia melibatkan ayah saya yang meninggal dunia lima hari lepas kerana penyakit barah usus.
Layanan dan sikap sambil lewa amat ketara berlaku di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
Ucapan terima kasih kami kepada semua kakitangan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana berusaha keras lebih sebulan yang lalu mengenal pasti serta mengubati penyakit ayah saya tetapi malang ia telah merebak teruk dan tidak boleh diubati lagi.
Sebelum ke PPUM, ayah saya dimasukkan tiga kali ke wad 7A/B HSNZ Kuala Terengganu. Dalam masa lebih daripada sebulan, proses barium swallow hanya dilakukan selepas dua minggu ayah saya berada di hospital. Peralatan seperti CT Scan dan MRI mungkin terlalu mahal untuk digunakan kepada pesakit seperti ayah saya.
Setelah ayah kami disahkan tiada penyakit, kami tidak berpuas hati dan menghantar beliau ke klinik biasa. Doktor tersebut yang mencadangkan kami menghantar ayah ke PPUM kerana hairan mengapa HSNZ tidak membuat pemeriksaan lanjut menggunakan peralatan tersebut.
Setelah dua minggu di PPUM, doktor di situ mencadangkan ayah saya dibawa pulang kembali ke HSNZ Kuala Terengganu memandangkan ia semakin kritikal.
Setelah hampir dua minggu di HSNZ Kuala Terengganu dan ayah tidak boleh menjamah apa-apa makanan dan ubatan pepejal, maka saya sekeluarga bersetuju membawa ayah pulang.
Sekali lagi kami terkejut kerana dibekalkan dengan vitamin dan ubatan pepejal seberat hampir 500 gram. Semua doktor dan jururawat di situ tahu bahawa sepanjang berada di situ, ayah tidak boleh makan. Apakah gunanya ubatan tersebut?
Di sini kami ingin menyatakan rasa amat terkilan atas perkhidmatan sambil lewa HSNZ Kuala Terengganu.
Kepada anda, tiada ucapan terima kasih kami berikan. Cuma harapan kami, apa yang berlaku kepada keluarga kami tidak akan berlaku kepada orang lain.
Pihak HSNZ tidak berada di tempat keluarga pesakit untuk merasai tekanan bila mana ayah yang sakit dikatakan tiada penyakit, hanya dimasukkan air dan dirujuk kepada pakar jiwa.
1 comment:
Saya mengalami masalah, kesihatan ibu saya semakin teruk sejak dimasukkan ke HKT...
Post a Comment