02 June 2009

Sijil Maktab Kerjasama tak laku

SAYA adalah seorang graduan program Sijil Pengurusan Koperasi dari Maktab Kerjasama Malaysia.

Program ini mengambil masa hampir setahun dengan masa kuliah dijalankan pada hujung minggu dari pagi sehingga petang.

Saya mengorbankan masa hujung minggu saya demi untuk memperoleh kemajuan dalam pendidikan walaupun di peringkat sijil sahaja dengan harapan dapat menyambung ke peringkat diploma.

Saya tidak mempunyai keputusan yang baik di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sebab itu saya mengikuti program peringkat sijil dahulu sebelum menyambung ke diploma.

Dalam masa yang sama, saya adalah seorang isteri dan ibu yang sedang menyusukan anak semasa mengikuti program tersebut.

Demi untuk memperbaiki kehidupan, saya sanggup dengan sokongan suami untuk mengikuti program peringkat sijil ini yang memerlukan saya membayar yuran pengajian RM800.

Setelah tamat pengajian, majlis konvokesyen diadakan di Petaling Jaya dan saya mengeluarkan wang sendiri untuk ke Kuala Lumpur selain mengambil cuti rehat di tempat kerja saya bagi menghadiri majlis tersebut.

Apa yang mengecewakan saya, setelah penat lelah belajar, pengorbanan masa dan wang ringgit demi untuk memperoleh segulung sijil kini tidak mendapat balasan yang diharapkan.

Saya telah memohon untuk melanjutkan pengajian saya di peringkat Diploma Pengurusan Koperasi di Maktab Kerjasama Malaysia dengan menggunakan kelulusan Sijil Pengurusan Koperasi.

Tetapi pihak Maktab Kerjasama Malaysia tidak meluluskan permohonan saya atas alasan Sijil Pengurusan Koperasi keluaran mereka tidak laku di pasaran kerana tidak mempunyai kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Bayangkan betapa kecewa dan hampanya rasa saya pada masa itu. Alasan lain yang diberi adalah kelulusan SPM saya tidak berapa baik dan saya tidak layak melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma.

Kalau kelulusan SPM saya baik tidak perlulah saya memulakan pengajian di peringkat sijil, mestilah saya akan terus ke peringkat diploma.

Saya tidak faham kenapa Sijil Pengurusan Koperasi tidak mempunyai kelulusan MQA.

Dan kalau tidak ada kelulusan MQA kenapa diadakan program tersebut yang akhirnya menyusahkan saya, membazir wang dan masa?

Kebanyakan institusi pengajian yang menawarkan program peringkat sijil akan membolehkan pelajar mereka menyambung ke peringkat diploma.

Banyak pengorbanan yang telah saya buat untuk meningkat kehidupan saya namun saya rasa dipermainkan. Saya berharap perkara ini menjadi pengajaran kepada mereka yang berhasrat untuk mengikuti program sijil ini, janganlah jadi seperti saya dan rakan-rakan sepengajian yang lain.

PELAJAR KECEWA
Kucing, Sarawak

No comments: