13 October 2008

JPJ Tubuh Bahagian Kejuruteraan Automotif Tingkatkan Sistem Penyampaian

KUALA TERENGGANU, 12 Okt (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menubuhkan satu bahagian baru dikenali Bahagian Kejuruteraan Automotif di semua pejabat JPJ negeri kecuali Perlis dan Melaka bagi memastikan kelancaran sistem penyampaiannya.

Ketua Pengarahnya, Datuk Solah Mat Hassan berkata dengan adanya bahagian baru itu yang mula ditubuhkan 15 Ogos lepas, orang ramai tidak perlu ke ibu pejabat JPJ di Putrajaya kerana semua urusan teknikal berkaitan automotif boleh diselesaikan di negeri masing-masing.

"Bagaimanapun, ada kes-kes yang memerlukan kelulusan daripada ibu pejabat JPJ dan mereka terpaksa datang ke Putrajaya," katanya.

"Bahagian ini mempunyai jurutera serta juruteknik yang akan mengendalikan perkhidmatan seperti mengubahsuai kenderaan, menukar enjin dan masalah casis," katanya selepas mengadakan dialog dengan persatuan-persatuan lori, bas dan teksi di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Rohaizah Abdul Rashid dan Pengarah Penguatkuasa JPJ, Salim Parlan.

Mengulas lanjut, Solah berkata bagi pejabat-pejabat JPJ negeri yang belum mempunyai jurutera, ia akan dipenuhi dalam tempoh terdekat.

-- BERNAMA

No comments: