15 October 2008

Syor bayar elaun khas ikut kelulusan

Berita Harian

SAYA ingin mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya lepasan universiti yang mempunyai kelayakan diploma atau ijazah yang bekerja pada gred gaji Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diberikan elaun khas RM400 untuk pemegang diploma, manakala RM500 untuk pemegang ijazah.

Elaun khas ini akan dihentikan pembayarannya apabila graduan terbabit mendapat pekerjaan atau jawatan setaraf dengan kelayakan mereka.

Ia suatu bentuk bayaran yang menjurus kepada penghargaan kepada golongan seperti kami yang bekerja dengan gaji lebih kecil berbanding gaji sepatutnya kami peroleh sesuai dengan kelayakan akademik.

Bukannya kami tidak memohon jawatan setaraf tetapi mungkin belum ada rezeki, maka kami terpaksa berkorban untuk menjawat jawatan SPM yang sepatutnya diisi lepasan SPM.

Elaun dicadangkan itu munasabah memandangkan jurang gaji permulaan yang sangat jauh di antara gaji permulaan SPM-diploma dan SPM-ijazah.

Kami terpaksa membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dan mungkin ada di kalangan kami yang terpaksa membayar pinjaman peribadi yang dibuat orang tua untuk membiayai pengajian kami.

Ada juga di kalangan kami yang sedang menyambung pengajian ke peringkat ijazah dengan duit sendiri dan elaun itu dapat meringankan sedikit beban ditanggung.

Cadangan itu munasabah kerana walaupun kami bekerja lebih masa atau membuat tuntutan perjalanan dan sebagainya, maka ia dikira berdasarkan gaji asas kami.

Saya mewakili golongan terbabit memohon pertimbangan sewajarnya daripada kerajaan. Semoga kecemerlangan dan prestasi perkhidmatan kami akan terus meningkat dengan ada penghargaan seperti ini.

HISYAM,
Kuching, Sarawak.

No comments: