15 October 2008

Surat tawaran kerja ditarik balik

Berita Harian

SELEPAS sekian lama menunggu, saya terpanggil untuk mendapatkan penjelasan mengenai status saya yang ditawarkan jawatan inspektor polis, tetapi kemudian ditarik balik.

Untuk pengetahuan, akhir Jun lalu, saya menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya supaya datang mengambil surat tawaran sebagai inspektor.

Dalam surat itu, saya perlu melapor diri pada 16 Julai 2008. Sebelum itu, saya membuat akuan penerimaan jawatan dan surat akuan sumpah. Dalam akuan bersumpah saya mengaku status mengenai saya berkahwin sebulan sebelum itu.

Namun, alangkah kecewanya saya ketika menghantar dokumen itu ke Bahagian Pengambilan di Bukit Aman pada 1 Julai 2008 apabila dimaklumkan bahawa jawatan ditawarkan itu ditarik balik atas alasan saya berkahwin.

Selepas berbincang seketika, pegawai itu menyarankan saya membuat surat rayuan dan berjanji akan memberikan jawapannya dalam tempoh tiga hari. Seminggu selepas itu, bahagian itu menghubungi saya dan memaklumkan rayuan saya ditolak dan surat penarikan tawaran akan dihantar.

Sehingga sekarang surat yang dijanjikan tidak saya terima sedangkan sepatutnya saya melaporkan diri pada 16 Julai 2008. Saya sedih apatah lagi reputasi kerja saya dan hubungan dengan majikan sebelum ini terjejas ketika proses memohon jawatan dalam PDRM yang mengambil masa agak lama.

Persoalannya:

  • Adakah untuk menjadi pegawai polis seseorang itu tidak boleh berkahwin sedangkan tidak dinyatakan dalam syarat permohonan. Jika benar, kenapa saya perlu membuat surat rayuan?

  • Adakah kerana kejujuran mengaku status perkahwinan, maka saya tidak layak untuk jawatan yang memang memerlukan orang jujur, sesuai dengan slogan PDRM.

  • Adakah berkahwin satu kesalahan dalam PDRM yang menidakkan hak saya sehingga peluang saya ditarik balik.
  • Apakah status saya sekarang kerana sehingga kini saya belum menerima surat penarikan tawaran seperti yang sepatutnya.

  • Jika saya menafikan status perkahwinan saya dalam surat akuan bersumpah itu, adakah saya diterima sedangkan tiada ketelusan dalam keadaan ini dan apakah akibatnya nanti.

    Saya amat berharap pihak berkenaan memberikan penjelasan mengenai kekeliruan yang saya hadapi agar ia kelihatan lebih telus

    WAN HUSLINI HASILA WAN HUSAIN,
    Puchong, Selangor.
  • No comments: