15 October 2008

Timbalan pengarah didakwa rasuah

Berita Harian

Pegawai kanan Imigresen hadapi sembilan tuduhan babitkan RM82,500

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas sembilan tuduhan berasingan menerima rasuah RM82,500 daripada seorang pengurus jualan, antara Mac dan Jun lalu.

Yusof Abu Bakar, 54, didakwa sebagai Timbalan Ketua Pengarah 1 (Bahagian Kawalan) secara rasuah memperoleh suapan untuk dirinya wang tunai berjumlah RM82,500 sebagai dorongan untuk meluluskan lanjutan pas lawatan warga China.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tiga tempat berasingan iaitu pejabatnya di Aras 7, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen, Blok 2G4, Presint 2, Putrajaya; Restoran Bintang Revolving Hotel Federal di sini dan di stesen minyak Caltex, Jalan Pudu di sini, antara 21 Mac dan 25 Jun lalu.

Bagi setiap tuduhan, Yusof yang berasal dari Seremban, didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama, membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi.

Yusof yang kini sudah ditukarkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan itu.

Hakim Mohamad Sakeri Mamat menetapkan 15 Disember ini untuk sebutan kes dan membenarkan Yusof dijamin RM50,000 dengan dua penjamin bagi semua tuduhan serta memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mohamad Sakeri juga membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Josiendra Abu Senin supaya nama dan identiti pengurus jualan itu tidak disiarkan media sehingga perbicaraan bermula kerana beliau adalah saksi penting pihak pendakwaan.

Terdahulu, peguam V K Sharma yang mewakili tertuduh, memohon jaminan RM100,000 yang ditawarkan pendakwaan dikurangkan kerana anak guamnya menghidap penyakit kencing manis dan mempunyai masalah jantung.

Sharma berkata, Yusof yang sudah berkhidmat dengan Kerajaan Malaysia selama 30 tahun, kini ditukarkan ke JPA dan gajinya menurun sebanyak RM5,000.

“Ini kali pertama tertuduh dituduh di mahkamah dan dia tidak mungkin akan melarikan diri serta akan hadir sepanjang perbicaraan untuk membersihkan namanya daripada tuduhan ini.

“Kami juga memohon budi bicara mahkamah supaya hanya mengenakan bon jaminan terhadap tertuduh dengan merujuk kes Datuk Seri Anwar Ibrahim (Penasihat Parti Keadilan Rakyat) yang dibebaskan dengan bon jaminan peribadi RM20,000 atas tuduhan liwat,” katanya.

Mohd Josiendra bagaimanapun memohon jaminan RM100,000 dikekalkan bagi memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah kerana dia akan pencen tidak lama lagi, selain perbicaraan kes yang mungkin akan mengambil masa lama.

Beliau berkata, walaupun nilai yang terbabit dalam kes itu hanya RM82,500 tetapi jika dilihat pada hukuman diperuntukkan bagi semua tuduhan berkenaan, tertuduh boleh didenda sehingga RM412,500 jika disabitkan bersalah.

Katanya, Yusof juga akan dituduh atas lima tuduhan lain di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dan Klang dalam tempoh terdekat.

No comments: