Skim Pengajian Tinggi ATM lahirkan 2,957 graduan tentera
Utusan Online
KUALA LUMPUR 14 Okt. - Seramai 2,957 pegawai dan anggota tentera berjaya mengikuti kursus di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan luar negara sejak Skim Pengajian Tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diperkenalkan 28 tahun lalu.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata, mereka itu terdiri daripada graduan yang menyambung pengajian peringkat sijil hingga ijazah doktor falsafah (Ph.D) mengikut bidang tugas dan kepakaran masing-masing.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu, seramai 16 pegawai mendapat Ph.D, sarjana (822), diploma lepasan ijazah (397), ijazah sarjana muda (129), diploma lanjutan (95), diploma (1,286) dan sijil (152).
''Bagi Program Pendidikan Jarak Jauh yang dikenali sebagai K-Force pula, ATM berjaya melahirkan seramai 925 graduan dalam bidang pengurusan dan teknologi maklumat menerusi kerjasama Universiti Tun Abdul Razak (Unitar).
''Sehingga kini, seramai 325 pegawai dan anggota tentera darat mengikuti kursus itu, manakala 306 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 294 anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di 11 lokasi di seluruh negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Pembangunan Minda ATM 2008 di Auditorium Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Abu Bakar Abdullah; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin; Panglima TLDM, Laksamana Datuk Abdul Aziz Jaafar dan Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin.
Abdul Aziz memberitahu, program sarjana pengurusan di Unitar akan turut ditawarkan kepada kakitangan awam kementerian itu pada awal tahun 2009 sebagai satu cara untuk menggalakkan lebih ramai golongan berpendidikan tinggi di ATM.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau seterusnya berkata, konsep kepimpinan adalah satu aspek penting yang perlu diberi penekanan di kalangan pegawai kanan ATM bagi memastikan sistem pengurusan lebih teratur dan efektif.
''Menyedari kepentingan aspek tersebut, ATM melalui Jabatan Arah Pendidikan sedang berusaha mewujudkan Pusat Kecemerlangan Kepimpinan di perpustakaan kementerian itu yang turut menganjurkan kursus, seminar dan bengkel," ujarnya.
Jelas beliau, pusat yang mula beroperasi bulan depan itu turut akan melatih para pegawai kanan ATM membuat keputusan pada saat-saat kritis sebagai pendedahan suasana sebenar semasa kecemasan.
No comments:
Post a Comment