25 October 2007

Tatatertib: KSN mahu lihat dulu laporan

Utusan Malaysia

PUTRAJAYA 24 Okt. – Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan mahu melihat terlebih dahulu laporan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengenai cadangan badan itu agar tindakan tatatertib dikenakan ke atas pegawai yang terlibat dalam isu salah guna dana awam.

Beliau berkata, pihaknya perlu bertindak berasaskan kepada peraturan sedia ada demi keadilan kepada kakitangan kerajaan yang terlibat dalam kes tersebut.

Namun, katanya, sekiranya didapati kakitangan itu perlu dikenakan tindakan tatatertib, nama mereka akan turut didedahkan kepada umum.

‘‘Kita perlu mengikut peraturan-peraturan yang ada, saya akan melihat dahulu laporan tersebut dan kita bertindak berdasarkan laporan itu dan peraturan sedia ada.

‘‘Kita mesti mempunyai keadilan dan kesaksamaan tetapi anda tahu tentang saya, saya akan mengikut segala peraturan, bagi mereka yang patut kena (tindakan) kenalah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM) di pekarangan Kompleks JPM di sini, hari ini.

Hadir pada majlis itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah, menteri-menteri Kabinet, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan di bawah JPM.

Semalam, Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan berkata, sekurang-kurangnya lima orang pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan akan dicadangkan dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, Perkara 4.2(g)(ii).

Pegawai berkenaan telah dikenal pasti terlibat dalam mesyuarat berkaitan pembelian peralatan dan kelengkapan oleh kementerian kepada lapan buah IKBN di seluruh negara dengan harga yang tinggi hingga menyebabkan kerugian kepada kerajaan.

Hasil semakan BPR, mereka juga didapati telah ke luar negara tanpa kebenaran dan menerima keraian daripada kontraktor.

BPR masih meneruskan siasatan untuk membuktikan sekiranya terdapat unsur-unsur jenayah dilakukan oleh mereka dan kes itu akan dirujuk kepada Peguam Negara setelah siasatan selesai.

No comments: