25 October 2007

Guru DG41 'patah hati' isu gaji belum selesai

Berita Harian

BULAN lalu, Kementerian Pelajaran mengumpul maklumat melalui Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing mengenai guru gred DG41 yang dilantik dari DGA29 yang dikatakan berjumlah 8,000 orang.

Ia terjadi akibat desakan dan rundingan daripada banyak pihak seperti NUTP/KPPK ekoran daripada rasa tidak puas hati dan kerugian yang ditanggung guru yang dilantik ke gred DG41 dari gred DGA29 tanpa mendapat gred DGA32 terlebih dulu.

Masalah itu disebabkan kenaikan gaji pada Julai 2007 sebanyak 25 peratus bagi kakitangan sokongan. Perkara itu diakui sendiri dan sedang mendapat perhatian Kementerian Pelajaran dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Penjelasan paling mudah untuk memahami situasi ini, saya memberi contoh mengenai tiga guru yang mengajar selama 13 tahun yang dikira selepas kenaikan gaji pada Julai 2007 seperti berikut:

Guru A, masih gred DGA29, P1T13 kerana gagal dalam PTK dengan gaji pokok RM2,186.16. Guru B, lulus PTK dan bergred DGA32, P1T3 dengan gaji pokok RM2,612.69, manakala, Guru C, bergred DG41, P1T7 dari gred DGA29 tanpa mendapat gred DGA32 dengan gaji pokok RM2,238.55. Semua guru berkhidmat selama 13 tahun daripada lantikan asal gred DGA29.

Perbezaan gaji pokok guru gred DG41 dengan DGA29 ialah RM2,238.55 � RM2,186.16 = RM52.39 saja, manakala perbezaan gaji pokok DGA32 dengan DG41 ialah RM2,612.69 � RM2,238.55 = RM374.14. Bagi kenaikan gaji tahunan pula, guru bergred DGA29 ialah RM65.04. Bagi guru gred DGA32 pula ialah RM98.31, manakala bagi guru gred DG41, RM90.45.

Inilah hakikat gaji pokok dan kadar kenaikan gaji tahunan bagi guru DG41 yang berijazah dan yang berkorban tenaga, masa dan wang selama empat tahun untuk mendapatkan ijazah. Mereka hilang semua time based ketika berkhidmat di gred DGA29 dulu apabila menjawat gred DG41 yang memerlukan masa paling kurang 10 tahun lagi untuk layak memohon jawatan gred DG44.

Kebanyakan guru DG41 sudah berumur yang tidak akan mencapai gaji maksimum dalam DG41. Malah �cukup-cukup makan� untuk merasa gred DG44. Ini pun jika ada rezeki dan panjang umur.

Guru DGA32 sebelum ini hanya perlu masa dua jam menduduki peperiksaan PTK untuk lulus tanpa melalui pengorbanan seperti guru DG41 dan tidak hilang time based untuk memohon DGA34 dan DGA38. Guru DGA32 bukan saja mendapat kenaikan gaji lebih tinggi, malah mendapat durian runtuh daripada tunggakan kenaikan gaji hingga belasan ribuan ringgit.

Semua guru DGA29 berpeluang mendapat DGA32 bersama durian runtuh masing-masing, asalkan lulus PTK dan cukup time based. Semua itu tidak dapat dirasai guru DG41 yang hanya 'menggigit jari' melihat guru DGA32 mendapat durian runtuh.

Kegembiraan guru DGA32 tidak berakhir di situ saja kerana ada yang menunggu untuk dilantik ke DG41. Sekali lagi gaji pokok mereka naik.

Saya berharap kerajaan menimbang sebaik mungkin keluhan dan nasib guru DG41 selama ini. Keputusan yang tepat memang perlu supaya tidak ada jurang besar gaji pokok dan kenaikan gaji tahunan bagi DGA32 dengan DG41 dan guru DG41 tidak patah hati untuk bekerja dengan baik.

ENMA ABDULLAH,
Kuantan, Pahang.

No comments: