25 October 2007

Kaji semula fungsi EPU

Utusan Online

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh meminta kerajaan mengkaji semula fungsi Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang disifatkannya gagal dalam mempercepatkan pelaksanaan projek- projek pembangunan kerajaan.

Beliau berkata, EPU seringkali mengambil masa yang agak lama dalam memberikan kelulusan kepada sesebuah projek pembangunan sehingga ada ketikanya menyebabkan kos projek tersebut meningkat berkali ganda.

Beliau mengambil contoh bagaimana sebuah projek pembangunan yang diluluskan kerajaan dua tahun lalu, tidak dapat dilaksanakan dengan serta-merta hanya disebabkan kelewatan EPU memberikan kelulusan.

‘‘EPU merupakan satu badan yang penting tetapi jika ia diketuai oleh seorang yang tidak memahami kehendak rakyat, maka kita akan ada masalah. Masalah kita, EPU lemah dan ia mesti dikaji semula.

‘‘Kita mahu Perdana Menteri, (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sendiri mengetuai EPU. Mungkin ada keberkesanan,” katanya ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan 2008 di Dewan Rakyat hari ini.

Isu kelewatan pelaksanaan projek kerajaan yang dibahaskan oleh Abdul Ghapur turut mendapat perhatian wakil rakyat lain termasuk Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (BN-Larut) dan Datuk Mohd. Said Yusof (BN-Jasin) yang antara lain membangkitkan masalah sistem penyampaian.

Raja Ahmad Zainuddin ketika mencelah berkata, kelewatan pelaksanaan projek pembangunan menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan dengan mendedahkannya melalui televisyen.

Beliau yang kesal dengan perkembangan itu berkata, pihak berkenaan seringkali bertindak sebaik sahaja pendedahan dibuat, sedangkan masalah terbabit telah banyak kali dibangkitkan oleh wakil rakyat, tetapi tiada maklum balas sehingga memberikan gambaran mereka seolah-olah tidak bekerja.

No comments: