26 October 2007

Laporan audit: Empat lagi ditahan

Utusan Online

Oleh KHAIRUL AZRAN HUSSIN

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini menahan empat lagi individu yang disyaki terlibat dalam penyelewengan pembelian peralatan dan kelengkapan seperti didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006 baru-baru ini.

Penahanan empat individu itu menjadikan jumlah mereka yang ditahan oleh BPR berhubung kesalahan tersebut ialah 17 orang.

Empat individu terbabit berjawatan penolong pengarah Cawangan Pentadbiran Latihan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), bekas pengarah Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pegawai Teknikal Kejuruteraan awam KBS dan pengurus projek sebuah syarikat pembekal peralatan kepada IKBN.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan berkata, keempat-empat individu terbabit ditahan di sekitar ibu negara, Kedah dan Perlis.

“Penolong pengarah Cawangan Pentadbiran Latihan KBS berusia 40-an dan pengurus projek syarikat pembekal peralatan berusia 30-an itu ditahan di ibu negara tengah hari ini.

“Bekas pengarah IKBN berusia 56 tahun ditahan di Kedah dan pegawai teknikal kejuruteraan awam KBS berumur 40-an ditahan di Perlis,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ahmad Said memberitahu, keempat-empat individu tersebut akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar, esok.

“Tiga orang daripada mereka akan didakwa di bawah Seksyen 11 (C) Akta Pencegahan Rasuah 1997 manakala pengurus projek syarikat pembekal peralatan itu akan didakwa mengikut Seksyen 20(1)(C) akta yang sama kerana bersubahat,” katanya.

BPR telah menegaskan, pihaknya tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam menyiasat dakwaan penyalahgunaan perbelanjaan kementerian dan jabatan kerajaan.

Ahmad Said dalam kenyataan sebelum ini memberitahu, kementerian dan jabatan terlibat disiasat sebelum Laporan Ketua Audit Negara 2006 dikeluarkan kerana maklumat mengenainya diterima lebih awal oleh BPR.

Tegas beliau, tidak ada pilih kasih dan mereka yang bersalah akan dihadapkan ke mahkamah.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam laporannya baru-baru ini menegur beberapa kementerian kerana menerima tawaran harga kontraktor yang terlalu tinggi dalam pembelian peralatan.

Laporan tersebut antaranya menegur proses pembelian 13 peralatan dan kelengkapan bagi IKBN di bawah KBS pada kadar melebihi harga pasaran sehingga kerajaan terpaksa menanggung kerugian RM8.39 juta.

Ini termasuk pembelian dua menara kren membabitkan perbelanjaan RM5.72 juta berbanding RM2.98 juta harga pasaran, selain membeli alat pengangkat kereta dua tan berharga RM5,741 sebuah berbanding cuma RM50 sebuah di pasaran.

No comments: