25 October 2007

Juruaudit profesional di semua jabatan

Utusan Malaysia

Oleh HABIBAH OMAR

PUTRAJAYA 24 Okt. – Semua jabatan audit dalaman di jabatan dan agensi kerajaan akan dianggotai oleh juruaudit profesional dari Jabatan Audit Negara bagi mengelak berlakunya salah laku dalam pengurusan dana awam.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, langkah serta-merta itu dilaksanakan kerana kerajaan sangat serius dalam perkara yang melibatkan tanggungjawab dan integriti.

‘‘Saya menyarankan supaya audit dalaman perlu lebih berkesan dengan membantu pengurusan kementerian memantau pelaksanaan pengurusan kewangan termasuk pengurusan perolehan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Ambrin mengulas mengenai tindakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mendakwa 10 orang termasuk sembilan kakitangan kerajaan di mahkamah di tiga negeri atas tuduhan yang mempunyai kaitan dengan Laporan Ketua Audit Negara 2006.

Mereka termasuk individu yang berjawatan pengarah dan penolong pengarah di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan sebahagian besarnya didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Ditanya bagaimana audit dalaman yang dilakukan dalam kementerian terbabit boleh terlepas kepada audit negara, beliau berkata, audit dalaman yang dijalankan melibatkan bidang pengurusan serta pembabitan banyak agensi, jabatan dan orang ramai.

‘‘Ini yang kita dapat adalah secara rawak, kebetulan perkara ini dapat diketahui maka kita laporkan,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan yang sama pernah diambil ke atas pegawai yang terlibat dalam salah laku dana awam hasil laporan audit sebelum ini, Ambrin berkata, beliau tidak pasti mengenainya kerana baru dilantik sebagai Ketua Audit Negara.

‘‘Saya tak berani komen apa-apa mengenai itu kerana ia adalah pada masa lalu. Semenjak saya jadi Ketua Audit Negara, ini nampak nyatalah, tindakan susulan dibuat seperti yang dinyatakan oleh kerajaan. Kerajaan melakukan apa yang dirasakan perlu.

‘‘Kerajaan begitu serius mengenai integriti, saya lihat ia sebagai tindakan yang sewajarnya diambil oleh pihak berkuasa, biar undang-undang menentukannya,” katanya.

Mengenai cadangan BPR supaya kajian menyeluruh dilakukan ke atas sistem pembelian terus yang diamalkan oleh jabatan dan agensi kerajaan selama ini, Ambrin berkata, perkara itu wajar dipertimbangkan.

Katanya, sistem yang mempunyai kelemahan sewajarnya diperbaiki supaya tidak dieksploitasikan oleh mana-mana pihak.

‘‘Jika dapat mengurangkan kejadian tak sewajarnya, kita semua harus sokong dan Jabatan Audit Negara sentiasa bekerjasama dengan BPR selama ini,” katanya.

No comments: