21 August 2007

Tak isytihar harta, tidak naik pangkat

Berita Harian


Ketua Pengarah JPA beri amaran kakitangan awam

KUALA LUMPUR: Kakitangan kerajaan yang gagal mengisytiharkan harta, tidak akan diberi kenaikan pangkat atau kenaikan pangkat mereka ditangguhkan, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam.

“Jika mereka gagal isytihar harta masing-masing kita akan tangguhkan atau tidak beri langsung kenaikan pangkat yang sepatutnya mereka terima.

“Kita bukan bercakap saja, tindakan ini sudah pun kita ambil, selain tindakan tatatertib lain kepada yang gagal berbuat demikian melebihi tempoh munasabah,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas arahan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, semalam supaya kira-kira 11,400 kakitangan kerajaan yang dikenal pasti belum membuat perisytiharan harta sejak tahun lalu, segera berbuat demikian bagi mengelak dikenakan tindakan tatatertib.

Kakitangan awam terbabit perlu tampil mengemukakan maklumat mengenai perkara itu sebelum akhir tahun ini.

Sejak 2002, tujuh kakitangan kerajaan sudah dikenakan tindakan tatatertib kerana gagal mengisytihar harta masing-masing dengan tepat atau wujud keraguan dalam maklumat yang mereka berikan.

Ismail berkata, beliau memberi peringatan kepada kakitangan awam bahawa mereka bukan saja perlu mengisytiharkan tambahan harta, malah harta yang dikurangkan termasuk dijual juga wajib diisytiharkan kepada JPA.

“Sebenarnya, kurangkan harta pun kena isytihar juga. Mereka kena nyatakan harta itu dijual kepada siapa,” katanya.

Beliau berkata, JPA yakin masalah 11,400 kakitangan kerajaan yang belum mengisytiharkan harta itu terdiri daripada kakitangan yang masih baru berkhidmat dalam kerajaan.

Perisytiharan harta semua kakitangan awam itu perlu dibuat selaras peruntukan dalam Pekeliling 3, 2002 Pemilikan dan Perisytiharan Harta Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Mengikut pekeliling itu, semua kakitangan awam wajib mengisytiharkan harta mereka apabila dilantik ke dalam jawatan atau setiap kali membuat pemilikan baru untuk memastikan rekodnya sentiasa dikemas kini.

Mereka yang tidak membuat pemilikan harta baru juga masih diwajibkan berbuat demikian setiap lima tahun sekali, bagi memastikan maklumat mengenai perkara itu sentiasa diperbaharui serta tidak menimbulkan masalah pada masa depan.

Kakitangan kerajaan yang ingkar arahan itu atau enggan berbuat demikian dalam tempoh yang sudah ditetapkan, boleh dianggap mengingkari perintah dan dikenakan amaran atau tindakan tatatertib.

No comments: