25 August 2007

‘Keputusan lantik hakim di tangan Abdullah’

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri tidak terikat dengan sebarang keputusan, pandangan atau kehendak Majlis Raja-Raja berhubung pelantikan jawatan Hakim Besar Malaya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.


“Keputusan muktamad siapa yang akan dilantik menjadi hakim atau Hakim Besar Malaya terletak pada Perdana Menteri dan terpulang kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memilih calon paling sesuai.

“Perdana Menteri sekadar berunding dengan Majlis Raja-Raja mengenai calon itu. Keputusannya tidak dipengaruhi Majlis Raja-Raja dan Perdana Menteri juga tidak terikat dengan pandangan mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas pelbagai spekulasi mengenai kekosongan jawatan Hakim Besar Malaya sejak Januari lalu, termasuk laporan Majlis Raja-Raja menolak calon pilihan Perdana Menteri sebelum ini.

Mengulas perkembangan sama, Nazri berkata, Abdullah sudah memilih calon bagi mengisi jawatan itu dan akan mengumumkannya tidak lama lagi.

Mengenai cadangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, supaya mengkaji semula Seksyen 113 Akta Keterangan 1950 berikutan peningkatan kes jenayah termasuk rogol membabitkan kanak-kanak, Nazri berkata, saranan itu wajar diteliti berdasarkan perkembangan dan perubahan semasa.

No comments: