19 August 2007

Musa mahu BPR turut awasi agensi kerajaan lain

Berita Harian


KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mempertahankan kredibiliti pasukannya yang selama ini sering dilabel dengan pelbagai salah laku termasuk amalan rasuah.

Beliau berkata, kegiatan rasuah bukan saja berlaku di kalangan pegawai dan anggota polis, agensi kerajaan lain turut berhadapan dengan masalah sama.

“Oleh itu, Badan Pencegah Rasuah (BPR) sepatutnya bersikap lebih adil dan tidak hanya memberi tumpuan kepada pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membanteras rasuah, sebaliknya perhatian sama turut diberi kepada agensi kerajaan lain,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-50 bersama PDRM di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar dalam akhbar berbahasa Inggeris, baru-baru ini yang mendedahkan hampir 40 peratus pegawai dan anggota polis terbabit dalam gejala rasuah.

Musa berkata, PDRM mempunyai peraturan sendiri dalam usaha mengesan pegawai dan anggotanya hidup lebih daripada kemampuan dengan mewajibkan mereka mengisytiharkan aset mereka setiap enam bulan sekali.

“Mereka yang ingin membeli aset lebih daripada RM5,000 juga diwajib mengisytiharkan harta mereka.

“Saya sendiri akan mengambil tindakan ke atas pegawai atau anggota yang terbabit dalam amalan tidak sihat ini dalam mempertingkatkan mutu perkhidmatan PDRM,” katanya.

Mengulas khidmatnya disambung dua tahun lagi, Musa berjanji menggunakan peluang dan kepercayaan yang diberikan kerajaan kepadanya itu bagi memantapkan lagi kualiti perkhidmatan PDRM dan mengeratkan lagi hubungan polis dengan masyarakat dalam usaha menangani jenayah.

No comments: