21 August 2007

Gaji swasta lebih tinggi

Utusan Online

KUALA LUMPUR 20 Ogos – Gaji pekerja sektor swasta yang hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding kakitangan sektor kerajaan menjadi faktor utama kaum Cina memilih untuk bekerja dalam sektor berkenaan.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar ibu kota hari ini mendapati kebanyakan masyarakat Cina amat mementingkan aspek gaji yang menjadi faktor utama dalam pemilihan sesuatu pekerjaan.

Seorang eksekutif bank, Low Meng Kian, 34, berkata, faedah sampingan yang ditawarkan majikan swasta seperti elaun yang tinggi juga menyebabkan kaum Cina tidak berminat untuk menyertai sektor kerajaan.

Tambahnya, walaupun gaji kakitangan kerajaan sudah dinaikkan Julai lalu, ia masih tidak dapat menarik minatnya untuk berkhidmat dengan sektor kerajaan.

“Gaji yang ditawarkan majikan sektor swasta 50 peratus lebih tinggi daripada gaji dalam sektor kerajaan. Apabila ditawarkan gaji tinggi, sudah tentu kita hendak bekerja dalam sektor itu,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas pendedahan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam bahawa iklan pengambilan pegawai baru kerajaan baru-baru ini tidak mendapat sebarang permohonan daripada orang Cina.

Dalam pada itu, seorang pengurus komunikasi dan pemasaran di sebuah syarikat swasta, Jade Tan Gaiu Bee, 26, berkata, sikap masyarakat Cina yang gemar bekerja dalam syarikat milik keluarga menyebabkan ramai yang memilih untuk bekerja sendiri.

Katanya, mereka lebih berminat bekerja dengan syarikat milik keluarga untuk mendapatkan pendapatan yang tinggi selain memudahkan operasi syarikat kerana ia dikendalikan oleh anggota keluarga.

‘‘Apabila anggota keluarga mempunyai syarikat sendiri maka lebih baik mereka membantu memajukan syarikat keluarga masing-masing,’’ ujarnya.

Seorang pemandu teksi, Shee Chee Keong, 36, berkata, kaum Cina tidak selesa untuk bekerja dalam sektor awam kerana merasakan kebebasan mereka terhad apabila perlu bekerja mengikut arahan tertentu.

“Sektor awam dilihat terlalu mengongkong pekerjanya dengan banyak syarat dan peraturan tertentu yang perlu dipatuhi berbanding majikan sektor swasta yang lebih longgar,” jelasnya.

Seorang lagi pekerja swasta, Hui Jen Chian, 29, berkata, kemudahan teknologi dalam sesebuah syarikat juga memainkan peranan penting dalam pemilihan pekerjaan.

“Kebiasaannya teknologi yang digunakan di kebanyakan majikan sektor swasta jauh lebih canggih berbanding sektor awam,” ujarnya.




No comments: