25 August 2007

Kilasan: KPP baru kena serius jayakan PTPP

Berita Harian


KALANGAN guru tentu sekali bersyukur dengan pelantikan Datuk Alimuddin Mohd Dom sebagai Ketua Pengarah Pelajaran (KPP) baru menggantikan Datuk Dr Ahamad Sipon yang bersara wajib baru-baru ini. Ia melenyapkan spekulasi yang tersebar ketika kekosongan.

Di sekolah, daripada guru penolong beliau dilantik sebagai pentadbir sehinggalah ke jawatan tertinggi iaitu pengetua.

Malah beliau dianugerah Pengetua Cemerlang yang berkhidmat di Sekolah Tuanku Abd Rahman dan Maktab Melayu Kuala Kangsar sebelum dipindahkan ke Jabatan Pelajaran Perak dan Kementerian Pelajaran untuk mengetuai beberapa jabatan seperti di Bahagian Sekolah, Jabatan Pendidikan Swasta dan Jemaah Nazir.

Alimuddin bukan sekadar cemerlang dari segi profesion, tetapi juga kepemimpinan, justeru beliau mendapat keyakinan rakan sejawat mengetuai organisasi pengetua iaitu Persatuan Kebangsaan Pengetua Sekolah Menengah, bagi Perak dan peringkat persekutuan sehinggalah beliau berpindah di Jabatan Pelajaran Perak sebagai Ketua Penolong Pengarah dan Ketua Sektor.

Sebagai guru, selain bertugas sebagai guru subjek, beliau berusaha memahami pelajar dengan lebih mendalam dari segi emosi dan memperkembangkan potensi mereka.

Bagi mencapai matlamat ini beliau menceburkan diri di bidang bimbingan dan kaunseling sebagai kaunselor di samping bergerak aktif dalam kokurikulum terutama unit beruniform serta sukan dengan memperoleh kelayakan sebagai pengadil bertauliah dalam bola sepak.

Semua pengalaman itu menjadikan Alimuddin seorang tokoh guru yang boleh disimpulkan sebagai amat lengkap dan sempurna untuk menyandang jawatan KPP.

Pengalaman terhad dalam sesuatu bidang seperti teknikal saja menyebabkan jangkauan terbatas yang akhirnya tidak menjurus kepada kepimpinan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia yang berkesan seperti dicontohi KPP pertama dan kedua iaitu Aminuddin Baki dan Tun Hamdan Sheikh Tahir dan beberapa KPP lain selepas mereka.

Bagaimanapun tidak dinafikan ada beberapa KPP yang kurang berkesan malah sesetengahnya mencalarkan perasaan guru.

Justeru, pelantikan Alimuddin disifatkan Pengerusi Yayasan Guru Malaysia, Datuk Salleh Hussin sebagai ‘Ikan pulang ke lubuk, pinang pulang ke tampuk dan sirih pulang ke gagang’.

Katanya, pelantikan Alimuddin sudah pasti akan menyemarakkan semula semangat dan daya juang guru bagi memartabatkan lagi profesionalisme keguruan di negara ini di samping akan memberi perhatian lebih dari segi peningkatan profesionalisme dan kebajikan guru. Semuanya akan menjadikan pengajaran dan pembelajaran (P&P) dapat dilaksanakan dengan inovatif di samping meminimumkan keterlanjuran guru dari segi disiplin seperti beberapa kes yang berlaku baru-baru ini.

Bagi orang ramai, kita boleh mengharapkan banyak inovasi pelajaran dalam memastikan dasar pelajaran kebangsaan ditafsir dan dilaksanakan secara maksimum ketika beliau menjadi KPP.

Bagi Aminuddin tidak ada toleransi dari segi P&P. Pengalaman beliau sebagai Ketua Nazir membolehkan keupayaan pemantauan yang tidak perlu dipertikaikan.

Malah beliau memperkenalkan banyak kaedah pencerapan dan pemerhatian untuk dilaksanakan anggota jemaah nazir ketika menjadi Ketua Jemaah Nazir. Malah persepsi guru terhadap nazir berjaya diubah daripada mencari kesalahan guru kepada berkongsi pengalaman.

Bagi pendidikan swasta, kedua-dua elemen utama diberi perhatian Aminuddin ketika beliau mengetuai jabatan itu, iaitu perkembangan dan mutu.

Dari segi perkembangan pengamal pendidikan swasta tidak menghadapi kesukaran untuk menubuhkan dan memperkembangkan institusi pendidikan swasta. Ia sejajar dengan usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan rantau ini. Bagaimanapun dengan keupayaan yang ada beliau memastikan mutu pendidikan terpelihara dengan tidak ragu-ragu mengenakan tindakan kepada mana-mana institusi yang yang tidak menepati kriteria seperti dijanjikan.

Kedua-dua perkara ini perlu diseimbangkan bagi memastikan pertumbuhan dan melahirkan modal insan yang diperlukan untuk pembangunan negara.

Kita percaya pengalaman beliau akan menjadikan pendidikan swasta dapat mencapai matlamat yang akhirnya memberi manfaat kepada pengamal dan pelajar, bukan oleh di sebelah pihak saja untuk meraih keuntungan.

Bagaimanapun kita percaya, selain kriteria di atas, pemilihan Alimuddin ke jawatan itu juga kerana keyakinan kerajaan mengenai kemampuannya untuk membantu meningkatkan kecemerlangan pendidikan negara ini secara keseluruhan terutama dalam menjayakan dasar penting yang dipertanggungjawabkan kepada kementerian.

Ini termasuklah bagi menjayakan semua matlamat untuk membangunkan pelajaran seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Pembangunan Pendidikan (PTPP).

Beliau dilihat sebagai orang yang paling sesuai dalam membantu Menteri Pelajaran menjayakan PTPP itu.

Sebagai seorang yang terbabit secara langsung dalam merangka strategi PTPP, sudah tentu Alimuddin akan memberi perhatian serius dan bersungguh-sungguh dalam menjayakan PTPP.

Malah kita beranggapan jawatan beliau akan dilanjutkan apabila sampai waktu bersara wajib, kerana pengalamannya yang diperlukan negara.

No comments: