Cuepacs yakin gaji naik Mei
Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Siti Nor Saadah Mdh Yusof
Maklum balas hasil pertemuan dengan Perdana Menteri positif: Omar
MELAKA: Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yakin gaji kakitangan sektor awam akan dinaikkan pada penghujung Mei ini.
Presidennya, Omar Osman menyatakan keyakinan itu berdasarkan maklum balas yang diterima ketika perjumpaan beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 6 Mac lalu.
"Maklum balas yang Perdana Menteri berikan membuatkan kita yakin kerajaan akan bersetuju dengan cadangan Cuepacs.
"Namun demikian, Perdana Menteri tak beritahu sama ada akan luluskan 100 peratus atau tidak. Kita berharap, pada 22 Mei ini kita akan dapat satu pengumuman yang memberi suntikan semangat kepada 1.2 juta pekerja di sektor awam di negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis taklimat mengenai isu-isu semasa Cuepacs di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Ayer Keroh, dekat sini, lewat petang semalam.
Omar berkata, Cuepacs memberi fokus kepada tuntutan kenaikan gaji kumpulan sokongan sebanyak 40 peratus yang dilihat akan meningkatkan produktiviti pekerja peringkat berkenaan.
Beliau berkata, kajian yang dijalankan pihaknya mendapati sebanyak 10 peratus daripada 20,000 pekerja sektor awam di Lembah Klang melakukan kerja sambilan sebagai pemandu teksi.
Sementara itu di Kuala Lumpur, Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam, berkata JPA dan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan sedang memperhalusi cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).
“Ia dalam kajian aktif JPA dan Perbendaharaan tetapi saya tidak mahu katakan bila (penilaian selesai).
“Apa yang pasti Perdana Menteri memang mengarahkan JPA melaksanakan tugas itu secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Selasa lalu, Perdana Menteri yang bertemu 11 anggota tertinggi Cuepacs di Parlimen, memberi jaminan akan mengarah Ketua Pengarah JPA mempercepatkan semakan gaji.
Kali terakhir kerajaan melakukan semakan gaji ialah pada 1992 dan Cuepacs, dalam tuntutannya, memohon kenaikan 30 peratus bagi Gred 17 hingga 40, 20 peratus (Gred 41 hingga 54) serta lima hingga 10 peratus (Jawatan Utama Sektor Awam).
Sementara itu, Cuepacs mendesak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sekali lagi mengkaji semula dan memansuhkan sistem kenaikan pangkat melalui ujian Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).
Omar berkata, pihaknya menerima banyak laporan yang menyatakan sistem berkenaan tidak menyenangkan pihak pekerja.
"Matlamat asal nampaknya tidak tercapai yang mana mereka yang lulus PTK tahap empat boleh dinaikkan pangkat. Tapi, lepas empat tahun PTK ini dijalankan, kita dapati hanya 65 peratus kelulusan yang dicapai berada pada tahap memuaskan. Mereka ini tidak mendapat tahap cemerlang... ini menunjukkan sambutan dingin," katanya.
Dalam pada itu, Cuepacs mencadangkan supaya sistem PTK digantikan dengan Sistem Pembelajaran Sepanjang Hayat (CPD) yang lebih efisyen serta tidak menjejaskan produktiviti pekerja.
Beliau menjelaskan, sistem itu dijalankan berdasarkan komitmen dan produktiviti dipamerkan oleh pekerja sepanjang perkhidmatan mereka.
"Kita nilai mereka dari semua aspek terutama produktiviti,” katanya.
No comments:
Post a Comment