06 March 2007

Kajian dapati gaji tinggi cenderung beri suapan

leh Magendran Rajagopal

KUALA LUMPUR: Kaji selidik Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) mendapati golongan yang berpendapatan tinggi lebih cenderung memberi rasuah kepada pihak berkuasa.


Kajian Merdeka Center, yang dijalankan bagi pihak TI-Malaysia itu juga mendapati masyarakat Cina lebih cenderung memberi rasuah, diikuti India dan Melayu.

Menurut kajian itu, golongan berpendapatan bulanan RM5,000 ke atas didapati paling ramai memberi rasuah iaitu 52 peratus, diikuti kumpulan berpendapatan bulanan RM3,001 hingga RM5,000 (40 peratus), RM1,501 - RM3,000 (31 peratus) dan kurang RM1,500 (18 peratus).

Kajian ke atas 1,025 responden meliputi penduduk pelbagai lapisan masyarakat serta 411 wakil badan korporat itu mendapati, 58 peratus masyarakat Cina cenderung memberi rasuah, diikuti India (23 peratus) dan Melayu (14 peratus).

Sepertiga daripada orang awam dan separuh daripada wakil sektor korporat yang terbabit dalam kaji selidik itu mengaku pernah memberi rasuah bagi mengelakkan kerumitan apabila melakukan sesuatu urusan atau didakwa atas pelbagai kesalahan.

Butiran kaji selidik terkandung dalam laporan Pemantauan Persepsi Ketelusan di Malaysia yang diedarkan, di sini, semalam.

Majoriti yang terbabit dalam kaji selidik itu turut menyokong penubuhan institusi ombudsman, iaitu suruhanjaya penyiasat bebas yang bertindak sebagai orang tengah bagi membolehkan rakyat mengadu mengenai pelbagai hal termasuk salah laku dan penyalahgunaan kuasa.

Di kalangan orang ramai, kaji selidik itu mendapati 92 peratus mahukan ombudsman manakala 77 peratus daripada sektor korporat menyokong cadangan itu. Golongan paling ramai menyokong ialah pemilik perniagaan (95 peratus) dan usahawan (90 peratus).

Dari segi perlindungan kepada pemberi maklumat pula, 92 peratus orang awam dan 82 peratus sektor korporat yang ditemubual mahu undang-undang lebih menyeluruh digubal, terutama dalam kes membabitkan orang kenamaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Shahrir Samad, dalam ucaptama pada majlis itu, pula yakin peningkatan gaji dan pelarasan kenaikan pangkat, terutama untuk kakitangan kerajaan, yang sejajar dengan peningkatan kos sara hidup dapat menghapuskan separuh daripada masalah rasuah dalam sektor awam.

“Umpamanya, jika kerajaan berjaya memenuhi semua keperluan ini bagi pasukan polis, separuh daripada masalah rasuah negara boleh dianggap selesai. Ini satu jabatan saja, kita belum lagi pergi kepada yang lain.

“Bagaimanapun, usaha ini tidak mungkin berhasil dengan kesungguhan satu pihak saja, sebaliknya orang ramai juga harus menjauhi amalan rasuah pada peringkat teratas sehingga ke akar umbi.

“Kesanggupan politik dan kesediaan orang ramai bekerjasama mengekang rasuah menjadi unsur penting menentukan kejayaan menghapuskan gejala ini,” katanya pada majlis yang turut dihadiri Presiden TI-Malaysia, Tan Sri Ramon Navaratnam.

No comments: