Piket DBP: 71 pekerja diberi surat tunjuk sebab
Roy Rasul
Wed | Mar 07, 07 | 05:37:14 AM
KUALA LUMPUR, 7 Mac (Hrkh) – Seramai 71 pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerima surat tunjuk sebab daripada pihak pengurusan semalam kerana menyertai piket anjuran Kesatuan Pekerja-pekerja DBP pada 15 Februari lalu.
Yang Dipertua Kesatuan Pekerja-pekerja DBP, Hasni Abas berkata, notis tunjuk sebab bertarikh 5 Mac lalu diberikan atas dakwaan tentang kelakuan yang melanggari peraturan-peraturan di bawah akta badan-badan berkanun (tata tertib dan surcaj) 2000 (Akta 605).
Bagaimanapun katanya yang dihubungi Harakahdaily hari ini, jika berdasar pemahaman badan berkanun, piket dikirakan salah jika dibuat secara individu.
Namun katanya, piket yang dilaku pada hari tersebut atas anjuran kesatuan pekerja.
Sementara itu katanya, pihak kesatuan akan menjawab surat tersebut secara ‘standard’ iaitu dari segi teknikal, tuduhan serta peraturan-peraturan yang ada.
“Lagi pun piket tersebut sebagai protes dan jika majikan kami mahu kenakan tindakan mengapa mereka tidak memberi respon terhadap permintaan kesatuan untuk rundingan di atas isu yang dibangkitkan tempoh hari,” tegasnya.
Malah dakwanya, pihak majikan seolah-olah melihat kesatuan seperti ‘kongsi gelap’ dan tidak mewakili pekerja.
Tambahnya surat tersebut yang perlu dijawab di dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat tersebut akan dijawab oleh pekerja terlibat dan juga kesatuan dengan melalui nasihat Penasihat Undang-undang Kesatuan Pekerja dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) minggu depan.
Sementara itu, piket pekerja DBP yang dianjurkan selama empat hari bermula 12 Febuari lalu diadakan bagi membantah proses pengisian jawatan Timbalan Ketua Pengarah (TKP) DBP yang didakwa tidak mengikut akta DBP dan Jawatankuasa Lantikan dan Naik Pangkat, Lembaga Pengelola DBP. - mks.
No comments:
Post a Comment