Pelantikan TKP DBP, pihak kesatuan mungkin bawa kes ke mahkamah
Ali Bukhari Amir
Fri | Mar 02, 07 | 12:48:55 AM
KUALA LUMPUR, 2 Mac (Hrkh) - Kesatuan Pekerja-pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
mungkin akan membawa isu berhubung pelantikan Timbalan Ketua Pengarah (TKP) DBP
yang terbaru ke mahkamah sekiranya isu tersebut tidak dapat diselesaikan secara
dalaman.
Yang Dipertua kesatuan Hasni Abas berkata keputusan tersebut diputuskan dalam
mesyuarat kesatuan pada 22 Februari lalu.
"Kita tidak dapat menerima keputusan ini kerana ia membabitkan soal
perundangan dan akta yang kami gunakan selama ini untuk melantik seseorang bagi
mengisi jawatan-jawatan tertentu."
"Kita perlu memastikan bahawa amalan pelantikan kepimpinan ini berjalan dengan
baik berasaskan undang-undang DBP. Jika tidak, hal ini akan berterusan dan
diamalkan sebagai suatu budaya pula."
"Akhirnya," kata Hasni, "kita sudah tidak lagi mempedulikan peraturan. Apabila
hal ini berlaku, suatu masa nanti kenaikan pangkat seseorang adalah berasaskan
perasaan suka atau tidak suka oleh seseorang individu ke atas individu lain,
tanpa mempedulikan kelayakan akademik mereka."
Hasni berkata, tindakan mahkamah dibuat apabila pihak kesatuan melihat telah
tiada penyelesaian melalui kaedah lain.
"Sepucuk surat telah kami terima daripada pihak pengurusan. Ia menyebutkan,
pelantikan sudah pun dibuat dan kami perlu menerimanya dan bekerja seperti
biasa," kata beliau.
Ketika ditanya, tidakkah hal menghebahkan isu ini ke media akan menjejaskan
nama baik DBP, Hasni berkata, hal menjaga nama baik itu bermula daripada pihak
atasan dan ia melibatkan semua pihak.
"Jika mahu menjaga nama baik, jangan melakukan hal yang bertentangan dengan
peraturan. Yang kami lakukan sekarang adalah respon terhadap amalan pihak
atasan sebelum ini."
"Pihak kesatuan boleh menjaga nama baik, tetapi pihak atasan harus juga
menjaga nama baik dengan mengikut segala proses pelantikan yang telah sedia
ada," kata beliau.
Seorang ahli kesatuan DBP yang enggan disiarkan namanya berkata, kes ini perlu
diberi perhatian serius memandangkan DBP adalah lambang dan asas kepada
kewujudan tamadun Melayu.
"Sebelum ini hal pelantikan seperti yang sama telah diamalkan di beberapa
jabatan. Tetapi, kami tidak membawa kes ini kerana ia melibatkan orang-orang
bawahan. Selain itu, kita tiada sebarang bukti seperti dokumen yang kuat untuk
mengesahkan hal tersebut," kata sumber itu. - mks.
No comments:
Post a Comment