07 March 2007

Cuepacs dapat bayangan gaji naik

Oleh Magendran Rajagopal dan Sazarina Shahrim

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkata, kerajaan bersetuju mempercepatkan proses penilaian tuntutan kenaikan gaji bagi kakitangan awam.


Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pertemuan dengan 11 anggota tertinggi kongres itu di Parlimen, semalam.

“Perdana Menteri memberi jaminan akan mengarah Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempercepatkan semakan gaji dan Cuepacs juga bersetuju, walaupun ia mengambil masa, asalkan kenaikan itu diberi.

“Perdana Menteri berkata, tuntutan dikemukakan Cuepacs itu ada justifikasinya dan diperhalusi satu jawatankuasa khas,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Omar berkata, Abdullah juga mengesahkan kerajaan pada dasarnya bersetuju memenuhi permintaan kesatuan itu supaya gaji lebih sejuta kakitangan awam dinaikkan walaupun kadar dan tarikh pelaksanaannya belum ditentukan.

“Memang ada kenaikan gaji, tetapi jumlahnya bergantung kepada keputusan kerajaan. Kita sudah nampak bayangannya, sebab itu kita gembira.Cuepacs lega dengan penerangan Perdana Menteri dan hanya tunggu masa bila ia diumumkan.

Kali terakhir kerajaan melakukan semakan gaji ialah pada 1992 dan Cuepacs, dalam tuntutannya, memohon kenaikan 30 peratus bagi Gred 17 hingga 40, 20 peratus (Gred 41 hingga 54) serta lima hingga 10 peratus (Jawatan Utama Sektor Awam).

Selain kenaikan gaji, tiga lagi perkara termasuk lanjutan umur bersara wajib, pelarasan pencen mengikut tempoh perkhidmatan dan skim Faedah Pencen Bersara (FPB) turut dibincangkan dalam suasana positif.

Katanya, walaupun Cuepacs menolak FPB, Perdana Menteri berkata skim itu akan diperhalusi JPA dan sementara itu, beliau meminta kakitangan awam memantapkan mutu perkhidmatan selaras kemajuan negara serta menjauhi rasuah.

Mengenai cadangan melanjutkan umur bersara wajib sehingga 60 tahun, Omar berkata Cuepacs menyokong usul itu, tetapi mahu ia dibuat berdasarkan tahap kesihatan dan kewarasan kakitangan awam, seperti disyorkan Perdana Menteri.

No comments: