06 March 2007

Cuepacs minta serap pekerja kontrak

KANGAR: Kerajaan diminta menyerap lebih 50,000 kakitangan kontrak di sektor awam sebagai pekerja tetap bagi membolehkan mereka menikmati pelbagai kemudahan termasuk faedah pinjaman dan pencen.

Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata pekerja kontrak sentiasa berhadapan risiko ditamatkan perkhidmatan pada bila-bila masa jika khidmat mereka tidak lagi diperlukan.

Katanya, rekod menunjukkan lebih 15,000 kakitangan kontrak berkhidmat dengan Jabatan Kemas dibawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) manakala yang lain di hampir semua kementerian.

"Kita minta Datuk Abdul Aziz Shamsudin selaku menteri bertanggungjawab terhadap Kemas, prihatin dan membantu mereka menjadi kakitangan tetap," katanya selepas mengadakan sesi taklimat dengan wakil perkhidmatan awam di sini, semalam.

Sementara itu, Cuepacs yakin kerajaan akan mengumumkan kenaikan gaji baru membabitkan kira-kira 1.2 juta kakitangan awamnya pada 1 Mei ini sempena sambutan Hari Pekerja dan ulang tahun kemerdekaan negara ke-50.

Omar berkata, berdasarkan maklum balas dan kesudian Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengadakan pertemuan dengan Cuepacs, hari ini, pihaknya yakin 1 Mei akan membawa khabar gembira untuk kakitangan awam.

Beliau berkata, kenaikan gaji itu akan memberi impak besar kepada kehidupan kira-kira 600,000 kakitangan awam sokongan gred 1 hingga 16 yang akan hidup dibawah paras kemiskinan jika tuntutannya tidak dilayan.

"Berpandukan permohonan kami, kakitangan sokongan yang kini menerima gaji antara RM485 hingga maksimum RM1,000, akan menikmati kenaikan sehingga 40 peratus,“ katanya.

“Selain gaji, kita juga bercadang untuk menyentuh cadangan supaya usia persaraan dilanjutkan, penolakan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), Faedah Pencen Bersara (FPB) dan masalah kira-kira 50,000 pekerja kontrak.

"Kita mencadangkan had umur persaraan dilanjutkan kepada 58 tahun manakala kenaikan pangkat dan imbuhan diberikan berdasarkan sistem merit dengan kajian semula setiap lima tahun sekali," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Majlis Gaji Sektor Awam Malaysia yang dianggotai pihak kerajaan dan Cuepacs juga perlu ditubuhkan mengkaji penyelarasan gaji antara sektor awam dan swasta.

No comments: