02 March 2007

Pensyarah IPTA diarah isi maklumat direktori kepakaran

BANGI: Kementerian Pengajian Tinggi mewajibkan semua pensyarah di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mendaftar dan mengisi 15 maklumat utama dalam Direktori Kepakaran IPTA serta mengemaskinikan maklumat terbabit sekurang-kurangnya enam bulan sekali.


Menterinya, Datuk Mustapa Mohamed, berkata kementerian akan menghantar surat kepada semua Naib Canselor setiap universiti untuk mengarahkan pensyarah mereka mengisi maklumat dalam direktori berkenaan.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi merealisasikan sasaran maklumat semua ahli akademik sepenuhnya dapat disediakan melalui direktori yang menjadi sumber rujukan semua pihak mengenai rekod ahli akademik di seluruh negara.

Direktori Kepakaran IPTA itu dipercayai yang pertama di dunia menyediakan maklumat asas kepakaran ahli akademik di IPTA secara berpusat untuk rujukan semua pihak, termasuk orang awam.

Melalui direktori https://www.mohe.gov.my/malimsarjana, pengguna dari seluruh dunia berpeluang membuat capaian dan mengenal pasti ahli akademik dalam kepakaran tertentu serta mengetahui dengan jelas tokoh serta pakar sesuatu bidang penyelidikan.

Mustapa berkata, pewujudan direktori terbabit akan menjadikan universiti lebih bersifat mesra dan terbuka dengan memberi peluang kepada semua pihak mengenali kepakaran ahli akademiknya.

Selain itu, katanya, ia turut memberi peluang kepada orang ramai memeriksa status kelayakan seseorang ahli akademik yang mendakwa memiliki kelulusan kedoktoran.

�Semua maklumat dalam direktori ini dipastikan tepat dan semua pensyarah akan berasa tertekan jika tidak mengisi maklumat diri di dalam direktori ini kerana orang ramai akan sentiasa cuba mendapatkan maklumat mengenai kepakaran mereka.

�Pensyarah tidak boleh menipu kerana semua maklumat dalam direktori ini sentiasa dipantau dari aspek kebenaran serta keselamatan datanya,� katanya pada sidang media selepas pelancaran direktori itu, di sini semalam.

Beliau berkata, setakat ini 10,597 ahli akademik sudah mendaftar dan 5,301 daripadanya sudah mengisi maklumat lengkap termasuk biodata, kelulusan, bidang kepakaran, penyelidikan, sumbangan, harta intelek, anugerah keahlian badan profesional serta penerbitan.

Katanya, kementerian menjangkakan dalam tempoh sebulan, semua 15,000 ahli akademik seluruh negara akan mengisi maklumat terbabit dalam pangkalan data yang berpusat di Kementerian Pengajian Tinggi.

Setakat ini semua IPTA sudah mendaftar kecuali Universiti Kelantan dan Universiti Pertahanan Malaysia, namun arahan kepada dua universiti itu akan dikeluarkan.

Kementerian akan berbincang dengan semua rektor institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk turut sama mendaftarkan ahli akademik mereka di dalam direktori ini,� katanya.

Sementara itu, Mustapa turut mengumumkan pengwujudan Anugerah Akademik Negara (AAM) yang akan memberi pengiktirafan kepada ahli akademik terbaik kerana sumbangan mereka dalam bidang akademiknya.

No comments: