20 March 2007

Gred pengetua sekolah kluster bermula DG52

Sunber : Berita Harian

Oleh Syuhada Choo Abdullah

Kementerian perincikan kaedah pertingkat jawatan guru besar


KEMENTERIAN Pelajaran akan mempertingkatkan gred jawatan pengetua di sekolah kluster kepada DG52 ke atas berbanding kelaziman DG48 di sekolah menengah ketika ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Jabatan Sekolah), Alimuddin Mohd Dom, berkata kementerian juga akan memperinci kaedah mempertingkatkan gred jawatan guru besar sekolah kluster, berikutan tahap tertinggi bagi penyandang sedia ada di sekolah rendah ialah DGA34.

Dalam konteks ini, katanya, pengetua dan guru besar yang sedang menerajui sekolah terpilih sebagai sekolah kluster akan dikekalkan di institusi berkenaan.

Sambil menegaskan pengetua serta guru besar terbabit akan diberi latihan, beliau berkata, malah Menteri Pelajaran ada membangkit cadangan memperluaskan pendedahan mereka kepada kaedah pentadbiran sekolah cemerlang di luar negara supaya dapat diaplikasikan mengikut kesesuaian acuan sendiri kelak.

“Bagaimanapun apabila mereka bersara atau memperoleh pelantikan jawatan lain, kementerian akan memberi keutamaan kepada pengganti lebih muda dan masih lama dalam perkhidmatan.

“Ini supaya kita boleh tengok pencapaian kepemimpinan pengetua dan guru besar terbabit di sekolah kluster masing-masing,” katanya kepada Berita Harian di Putrajaya, semalam.

Alimuddin berkata, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, akan mengumumkan senarai 30 perintis sekolah kluster di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada 30 Mac ini.

Selepas itu, beliau berkata, kementerian akan membuka permohonan melalui iklan di akhbar kepada sekolah seluruh negara untuk memasuki kelompok cemerlang berkenaan.

Katanya, kementerian mensasarkan pemilihan 300 sekolah kluster menjelang akhir tahun ini tetapi bilangan itu boleh dipertingkatkan mengikut kesesuaian perkembangan semasa.

Beliau berkata, pemilihan sekolah kluster berkenaan merangkumi wakil lima kelompok dikenal pasti, iaitu sekolah rendah yang meliputi sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan/SJK Cina, SJK Tamil dan sekolah Orang Asli.

“Seterusnya, sekolah menengah pula meliputi sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah menengah teknik (SMT), sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA), sekolah menengah harian, sekolah premier, sekolah 100 tahun, sekolah dalam persekitaran Putrajaya dan Cyberjaya, serta sekolah model khas.

“Tiga kelompok lain ialah sekolah pendidikan khas (sekolah menengah pendidikan khas dan sekolah menengah pendidikan khas vokasional), institusi lepasan menengah (kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru), serta sekolah antarabangsa dan sekolah swasta.

“Dalam pemilihan sekolah kluster, tiga aspek utama diberi penekanan ialah kurikulum, kokurikulum dan juga sahsiah pelajar. Sebagai contoh dari segi kurikulum, kriteria permohonan untuk SBP ialah mencapai gred purata sekolah 2.5, SMKA (3.5), diikuti SMT dan sekolah menengah harian (4.0), manakala sekolah rendah pula lebih 80 peratus calonnya lulus Ujian Pencapaian Sekolah Rendah.

“Apabila sesebuah sekolah yang layak mengemukakan permohonan kepada Jemaah Nazir Sekolah, penilaian akan dibuat termasuklah dari aspek kepemimpinan dan pengurusan,” katanya.

Di samping itu, Alimuddin berkata, Hishammuddin akan membuat pengumuman serta penyerahan watikah pelantikan Lembaga Penasihat Sekolah Kluster kepada 10 tokoh pendidikan, sosial, masyarakat serta ekonomi, 23 Mac ini.

Dalam pada itu, katanya, kementerian menganjurkan Bengkel Autonomi Sekolah Kluster selama dua hari bermula semalam yang dihadiri 300 peserta daripada kalangan pengetua, guru besar, guru, persatuan ibu bapa dan guru serta alumni, bagi mendapatkan input dan pandangan mengenai autonomi sekolah kluster.

1 comment:

Anonymous said...

Sekolah kami (STS) dah tak ada pengetua (bersara DG48)sejak Januari 2008. Bila nak hantar pengetua baru. Kami rasa kurang bersemangat sekarang.