23 March 2007

Sistem penyampaian terus diperkukuh: PM

Sumber : Berita Harian

Oleh Anwar Hussin dan Azli Ayob

Pengumuman penting perbaiki mutu khidmat awam 13 April


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau akan membuat satu pengumuman penting mengenai langkah menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam pada 13 April ini.

Perdana Menteri berkata, usaha penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam akan terus menjadi matlamat penting dalam teras pentadbirannya bagi meningkatkan lagi iklim pelaburan negara.

“Penambahbaikan sistem penyampaian awam itu juga akan membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya dalam ucaptama pada Persidangan Pelaburan Malaysia 2007 di sini, semalam.

Persidangan tahunan selama tiga hari itu, yang bermula semalam, dihadiri pelabur, pengurus dana, penganalisis dan tokoh perniagaan.

Abdullah berkata, penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam perlu kerana pelaburan di negara ini semakin bergantung kepada modal insan yang berkualiti tinggi.

“Sebab itulah, kerajaan melancarkan Pelan Tindakan Pembangunan Pendidikan bertujuan meningkatkan kemampuan intelektual, kreativiti serta nilai generasi muda rakyat Malaysia.

“Kerajaan akan menentukan bahawa hubungan rapat industri dengan akademik dijalin pada peringkat pendidikan tinggi dan graduan kita dilengkapi kemahiran sesuai dengan kehendak pasaran,” katanya.

Perdana Menteri berkata, usaha dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi akan turut dipertingkatkan di samping kerajaan terus bekerja keras menunaikan segala janjinya kepada rakyat.

Beliau berkata, dalam membuat perubahan, sama ada tindakan jangka sederhana atau jangka panjang, pendirian kerajaan berdasarkan kepada lima teras Misi Nasional dan didorong oleh matlamat untuk mencapai Wawasan 2020.

“Ia memerlukan perspektif sebenar terhadap sejarah negara dan penghayatan kepada aspirasi untuk masa depan. Ia juga memerlukan satu komitmen yang kuat ke arah usaha untuk membangunkan negara,” katanya.

Abdullah berkata, 2007 akan menjadi pengukur utama dalam menentukan tahap pertumbuhan dan perubahan bagi masa depan.

“Saya berpendapat 2007 akan menjadi satu lagi tahun kejayaan kepada Malaysia. Azam kita adalah kuat, kita sudah ada hala tuju, kita punyai iltizam, dan kita bertekad untuk berusaha mencapai kejayaan,” katanya.

No comments: