23 March 2007

Syor PTD terajui JPN rendahkan taraf pendidik

KUALA LUMPUR 22 Mac – Seorang Ahli Parlimen menyifatkan cadangan penstrukturan semula Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) yang bakal diterajui pegawai tadbir diplomatik (PTD) sebagai tindakan tidak berhati-hati dan tidak sensitif.

Dr. Muhamad Shahrum Osman (BN-Lipis) berkata, perkara itu seharusnya tidak berlaku kerana jawatan tersebut adalah hak golongan guru yang selama ini bertungkus-lumus memajukan anak bangsa.

‘‘Cadangan itu hanya akan menyebabkan berlakunya penurunan taraf golongan pendidik seperti mana nasib yang menimpa ke atas status Ketua Pengarah Pelajaran berbanding Ketua Setiausaha kementerian itu.

‘‘Pada satu ketika, taraf kedua-dua jawatan itu adalah sama tetapi akhirnya jawatan Ketua Setiausaha (yang diterajui PTD) adalah lebih tinggi daripada Ketua Pengarah.

‘‘Adakah adil perkara seperti ini berlaku sedangkan di bawah Ketua Pengarah terdapat kira-kira 350,000 guru yang bertugas di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah perbahasan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Razali Ismail yang membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menolak cadangan penstrukturan semula JPN yang bakal diterajui oleh PTD.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng berkata, sebarang usaha untuk mengambil alih jawatan tinggi JPN oleh pegawai PTD pasti tidak dapat diterima oleh guru-guru.

Sementara itu, Razali dalam ucapannya mahu pihak Kementerian Pelajaran serta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji semula cadangan itu kerana ia meresahkan warga pendidik di negara ini.

Beliau berkata, mereka yang bergelar guru tidak kurang hebatnya untuk mengurus dan seharusnya golongan itu terus diberi peluang untuk memegang jawatan penting di JPN.

‘‘Saya amat berharap pihak kementerian mengambil kira pandangan ini dalam usaha memastikan kemajuan tahap pendidikan kita terus berada di atas landasan yang betul.

‘‘Kita tidak mahu wujud sebarang rasa kurang senang di kalangan guru-guru kita ekoran cadangan ini,” tambahnya.

No comments: