19 March 2007

Cuepacs kecewa pemimpin kesatuan ‘dikacau’

Sumber : Berita Harian

IPOH: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), kesal dengan tindakan segelintir ketua jabatan kerajaan menindas dan menekan pemimpin kesatuan sehingga ada yang terpaksa melepaskan jawatan dalam kesatuan.


Presidennya, Omar Osman, berkata perbuatan menekan pemimpin kesatuan dengan menganggap mereka sebagai `pengacau' apabila mengusulkan sesuatu masalah untuk dibincangkan amat tidak wajar.

Katanya, Cuepacs melihat perkara itu sebagai sesuatu yang serius dan boleh melemahkan perjuangan kesatuan, selain turut merencat produktiviti serta mengganggu keharmonian di tempat kerja.

"Ketua jabatan seperti ini tidak layak menjadi ketua jabatan dan mereka sepatutnya bersyukur kerana kesatuan membangkitkan masalah dan mahu berbincang dulu dengan mereka.

"Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri menganggap kesatuan kerja adalah satu perkongsian bijak, tetapi mereka (ketua jabatan) pula menganggap pemimpin kesatuan seperti pengacau," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-38 Kesatuan Pekerja Rendah Awam Cawangan Ipoh di sini, semalam.

Omar berkata, beliau menerima aduan mengenai ‘gangguan’ itu daripada beberapa kesatuan di seluruh negara membabitkan ketua jabatan kerajaan tertentu yang berfikiran negatif terhadap perjuangan kesatuan sekerja di tempat mereka.

"Sepatutnya ketua jabatan memberikan sokongan kepada pemimpin kesatuan dan ahlinya untuk meningkatkan moral dan semangat mereka.

"Malah, majlis hari ini (semalam) pun tidak ada seorang pun ketua jabatan yang hadir untuk memberikan sokongan atau mengambil tahu perkembangan kesatuan anak buah mereka.

"Sebaliknya, kita dengar pula ada kes pemimpin kesatuan pekerja ditekan sehingga terpaksa melepaskan jawatan dalam kesatuan dan melarang menggunakan dewan jabatan sehingga terpaksa menyewa di luar," katanya.

Omar berkata, pihaknya akan menyerahkan laporan mengenai perkara itu kepada Ketua Setiausaha Negara.

Katanya, tindakan seperti itu akan memberi impak besar kepada perjuangan Cuepacs mengenai tuntutan kenaikan gaji kakitangan awam yang dilihat sebagai satu suntikan moral kepada golongan pekerja, sekali gus membantu mereka memperbaiki prestasi dan khidmat pelanggan.

Sementara itu, mengenai isu kenaikan gaji pekerja perkhidmatan awam, beliau berkata, pengumumannya akan dibuat Abdullah pada 1 Mei ini.

No comments: