03 November 2009

APMM Jadi Penguatkuasa Tunggal Maritim Pada 2011

PUTRAJAYA, 3 Nov (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mensasarkan untuk menjadi agensi penguatkuasa maritim tunggal dalam mengawal perairan negara menjelang 2011.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi agensi itu Laksamana Muda Datuk Noor Aziz Yunan berkata langkah ke arah itu telah bermula secara berperingkat dengan mengambil alih aset dan tugas agensi-agensi lain yang turut mengawal perairan negara.

"Ini kerana terlalu banyak agensi di bawah Zon Maritim Malaysia dan ia melibatkan peruntukan kewangan yang besar kepada negara," katanya kepada pemberita pada Majlis Media Maritim di sini, Selasa.

Ketika ini lapan lagi agensi turut terlibat mengawal perairan negara iaitu Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Perikanan, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Imigresen, Pasukan Gerakan Marin, Kastam Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Katanya APMM yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri telah memohon tempoh selama dua tahun kepada kerajaan bagi menyiapkan diri mengawal zon perairan negara secara bersendirian.

Beliau berkata apabila dilaksanakan, semua akta yang melibatkan agensi lain akan dikuatkuasakan oleh APMM.

Noor Aziz berkata untuk mencapai matlamat itu, APMM perlu membaik pulih kapal-kapal lama dan memiliki kapal-kapal baru yang lebih efektif dan moden supaya penguatkuasaan lebih berjaya.

Katanya anggota dan pegawai agensi-agensi lain akan diberi pilihan untuk menyertai APMM memandangkan pengalaman luas yang dimiliki mereka dalam mengawal perairan negara.

Beliau juga berkata APMM akan meningkatkan kerjasama dengan masyarakat bagi mengurangkan pencemaran di perairan negara khasnya di Selat Melaka.

"Nelayan dan pekerja kapal dapat memberi maklumat berhubung kegiatan membuang minyak di perairan negara pada waktu malam yang sukar kita jejaki tanpa bantuan alat canggih," katanya.

Beliau berkata untuk melaksanakan operasi sedemikian, pesawat APMM jenis Bombarbier C1415 kini dilengkapi sistem canggih yang mampu menjejaki aktiviti membuang minyak dan menangkap suspek.



-- BERNAMA

No comments: