04 November 2009

Najib Bangga Dengan Kakitangan Awam Bekerja Di Makmal NKRA

PUTRAJAYA, 4 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bangga dengan lebih 200 kakitangan awam yang sedang bekerja di lapan makmal yang bertanggungjawab bagi program transformasi kerajaan.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat lapan makmal itu di Palm Garden Resort di sini, Najib berkata beliau melihat sendiri bagaimana kerja dijalankan di makmal berkenaan untuk membangunkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), agenda 1Malaysia dan perpaduan negara.

Lapan makmal itu mula beroperasi pada 5 Okt, masing-masing bagi enam NKRA -- pendidikan, isi rumah berpendapatan rendah, infrastruktur asas luar bandar, pengangkutan awam di bandar, rasuah dan jenayah -- dan dua lagi bidang yang ditumpukan, 1Malaysia dan perpaduan negara dan pengurusan data.

Lebih 200 individu dari pelbagai kementerian, agensi dan jabatan, dari seluruh negara bekerja di makmal berkenaan.

Di setiap makmal, terdapat sekurang-kurangnya 20 organisasi bekerja bersama-sama, merungkai dan memecahkan halangan yang bertujuan meningkatkan perkhidmatan penyampaian kerajaan dan memupuk budaya prestasi tinggi dalam pentadbiran awam.

Makmal berkenaan akan merumuskan butiran mengenai pelan tindakan untuk merealisasikan setiap NKRA dan inisiatif 1Malaysia.

Pelan tindakan berkenaan akan diumumkan awal tahun depan.

"Saya amat bangga dengan sumbangan dan komitmen kakitangan awam ini. Sebelum ini perkhidmatan awam tidak membenarkan kreativiti dan kebolehan mereka untuk berfikir di luar batasan kebiasaan tersekat.

"Selepas melawat makmal-makmal berkenaan, Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin), Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Sidek Hassan) dan saya amat bangga dengan pencapaian mereka setakat ini," kata Najib, yang diiringi Muhyiddin pada lawatan itu.

Katanya kerja yang dilakukan di makmal berkenaan membuktikan kakitangan awam Malaysia memiliki kebolehan untuk menjadi kreatif jika diberikan peluang.

"Sebagai contoh, kami telah mengenal pasti dan menaik taraf semua 10,000 buah sekolah di seluruh negara. Di masa lepas, ini akan mengambil masa.

"Begitu juga dengan jalan-jalan raya di kampung; malahan jalan raya di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak telah dikenal pasti dan rancangan sedang dibuat untuk menaik tarafnya. Langkah yang sama akan dibuat bagi semua NKRA yang lain," katanya.

Najib berkata staf di makmal berkenaan bekerja minimum 12 jam sehari dan ada kalanya mereka malahan mengadakan perbincangan sehingga 5 pagi.

"Kabinet akan memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada kakitangan awam ini, termasuk memberikan ganjaran," katanya.



-- BERNAMA

No comments: